BERSATU desak Johari isytihar 6 kerusi Parlimen kosong


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan enam kerusi Parlimen melibatkan wakil-wakil rakyat yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Whip BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terhenti keahliannya secara serta-merta telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi pihak parti, kesemua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen P.030 Jeli; P.032 Gua Musang; P.059 Bukit Gantang; P.067 Kuala Kangsar; P.095 Tanjong Karang dan P.166 Labuan tersebut telah ditandatangani oleh saya selaku Ketua Whip BERSATU.

Semua maklum, semalam suatu precedent kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga telah diumumkan Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato' Sri Amar Diraja Dato' Haji Mohd Amar Haji Abdullah, yang merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima. 




Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik “adalah muktamad dan konklusif”.

6Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari Abdul mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan.
 

Catat Ulasan

0 Ulasan