Mengecewakan apabila pemberi rasuah tidak didakwa - CUEPACS


Berikut adalah kenyataan penuh Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat hari ini:

Keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam baru-baru ini merupakan usaha untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini. 

Ia juga merupakan usaha kerajaan untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi yang kita lihat selama ini terlalu besar jurangnya serta tidak mencerminkan situasi sebenar pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional. 

Kenaikan gaji yang bakal dinikmati penjawat awam ini perlu bergerak seiring dengan kualiti kerja yang lebih baik bagi memastikan impak kepada kenaikan tersebut dapat membantu perkembangan ekonomi. 

Hal ini termasuklah dengan melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan mengelakkan perkara-perkara yang melanggar tadbir urus dan penyelewengan.

Bagaimanapun CUEPACS tidak bersetuju apabila konteks kenaikan gaji penjawat awam itu dilihat daripada sudut tertentu sahaja seperti untuk membendung gejala rasuah. 




Dalam perkara ini CUEPACS tidak senada dengan pandangan SPRM yang menyentuh usaha membanteras rasuah tidak boleh dilakukan dengan menaikkan gaji penjawat awam semata-mata. 

Pandangan tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa faktor utama kerajaan menaikkan gaji penjawat awam adalah untuk memerangi gejala rasuah dalam perkhidmatan awam. 

Gaji yang rendah mungkin adalah salah satu punca kepada berlakunya gejala rasuah namun ia bukanlah penyebab utama. 

Faktor dalaman yang menyebabkan seseorang melakukan rasuah adalah kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti.

Buktinya dapat dilihat melalui laporan media setiap hari penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat dan rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu. 

Pelaku tersebut juga tidak hanya terdiri daripada penjawat awam malah membabitkan orang awam yang mempunyai nilai kekayaan luar biasa.

CUEPACS menyarankan pihak berkuasa mengubah pendekatan dalam tindakan iaitu memberi fokus kepada punca kepada gejala rasuah pada peringkat akar umbi iaitu menyasarkan kepada pemberi rasuah.

Kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima rasuah dan jika disabitkan seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara dan didenda. 

Yang mengecewakan adalah apabila pemberi rasuah tidak didakwa malah dijadikan saksi untuk mendakwa mereka yang menerima rasuah. 

Ketika ini kita banyak didedahkan dengan tangkapan individu yang menerima rasuah sahaja hingga ramai yang mempersoalkan ke mana hilangnya pemberi rasuah tersebut.

Jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan tidak menumpaskan sumber atau akar umbi kepada punca gejala terbabit. 

Pemberi rasuah ini akan mencari pelbagai jalan untuk mencari mangsa mereka bagi mendapatkan keuntungan daripada transaksi yang dilakukan. 

Jika kita putuskan rantaian pemangsa ini sudah tentu permasalahan rasuah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. 

Jika usaha memburu pemberi rasuah ini diperhebatkan, CUEPACS yakin masyarakat akan lebih takut untuk terbabit dalam salah laku tersebut.

CUEPACS mengakui SPRM sudah berusaha dengan sebaiknya dalam menguatkuasakan undang-undang dan CUEPACS bersama penjawat awam sedia bersama-sama dengan SPRM dalam memastikan usaha tersebut terus dipergiatkan. 

CUEPACS sekali lagi menegaskan bahawa tindakan segelintir penjawat awam yang terlibat dalam gejala rasuah tidak mencerminkan keseluruhan integriti dan akauntabiliti penjawat awam negara. 

Penglibatan dalam rasuah dan salah laku itu adalah tindakan sebilangan kecil penjawat awam dan tidak mewakili 1.7 juta warga penjawat awam. 

CUEPACS menyeru semua pihak termasuk masyarakat awam memberi sokongan kepada perkhidmatan awam.


Catat Ulasan

0 Ulasan