ADUN Manjoi dakwa hantaran FB tuduh wanita Cina dimanipulasi

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri memohon maaf berhubung kekhilafan beliau dalam isu hantaran Facebook yang dikaitkan dengan dakwaan serangan kepada Sultan Perak semasa insiden di sambutan Hari Kebangsaan negeri itu.

Hafez menegaskan hantaran awal yang dibuatnya telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan salah faham seolah-olah beliau membangkitkan isu perkauman.

“Untuk makluman semua, sebaran yang diviralkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut adalah telah dimanipulasi.

“Ini kerana, pada waktu kejadian, saya telah mendapat makluman awal ianya dibuat oleh seorang perempuan Cina.

“Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku Sultan Negerinya perasaan bimbang dan takut akan keselamatan Tuanku Sultan hadir dalam perasaan saya, jadi ketika itu saya telah membuat posting secepat mungkin kerana ianya melibatkan satu breach of security kawalan keselamatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hafez menjelaskan beliau segera membuat pembetulan terhadap hantaran asal selepas menyedari maklumat yang diterima tidak tepat.

“Namun selepas beberapa minit sahaja saya membuat posting, saya mendapati sumber awal saya dapat adalah tidak tepat dan saya telah membuat pembetulan pada posting asal saya secepat mungkin tidak lebih beberapa minit dari hantaran awal.

“Namun begitu ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat tangkap layar sepantas kilat ketika hantaran awal Facebook saya dan terus menyebar hantaran yang tidak tepat itu dan telah memainkan naratif isu seolah-olah saya memainkan isu perkauman,” katanya.

Beliau menegaskan fokus sebenar yang diketengahkan adalah soal keselamatan Sultan Perak, bukannya isu kaum atau etnik.

“Saya tidak menimbulkan isu bangsa atau etnik dalam mempersoalkan bagaimana insiden tersebut boleh berlaku, sebaliknya saya menekankan isu keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak yang perlu diperketatkan.

“Saya sedar bahawa tindakan melanggar kawalan keselamatan tidak boleh dipertahankan tanpa melihat kepada warna kulit siapa yang melakukannya,” ujarnya.

Hafez turut mendakwa terdapat cubaan pihak tertentu untuk membina naratif jahat terhadap dirinya dengan memainkan sentimen perkauman.

“Lapang dada saya kerana dapat memberi pencerahan kepada seluruh rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku dan saya percaya warga masyarakat yang dikasihi boleh menilai dan melihat penjelasan saya dengan hati yang terbuka.

“Saya juga memohon maaf atas kekhilafan saya dalam isu ini, sebagai manusia saya juga tidak terlepas daripada kekhilafan,” katanya.

Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat terhadap sebaran tangkap layar hantaran Facebook yang dimanipulasi pihak tertentu.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan