![]() |
Gambar: FB MPPn |
Tindakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin mengeluarkan notis penutupan premis selama 30 hari bukanlah tindakan “ultra vires” atau tindakan kejam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sebaliknya tindakan itu adalah mengikut undang-undang.
Menurut beliau, tindakan itu juga merupakan amaran keras agar semua pihak agar tidak cuai atau mengambil sikap sambil lewa apabila menyentuh isu berhubung kait kedaulatan dan maruah negeri serta negara.
"Selepas 68 tahun Malaysia merdeka, alasan kecuaian yang sama tidak seharusnya terus berulang kerana kesilapan ini bukan perkara kecil, malah merupakan tamparan terhadap kedaulatan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata," katanya dalam kenyataan media kelmarin.
Mohd. Jafni menegaskan, Bangsa Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang mesti sedar bahawa menghormati Jalur Gemilang dan bendera Johor bukan pilihan, tetapi kewajipan.
Beliau menambah, bendera bukan sekadar kain yang berkibar di tiang malah ia adalah simbol kedaulatan, maruah dan kesetiaan.
"Hormat kepada bendera bermakna hormat kepada negeri dan negara itu sendiri.
"Justeru, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memelihara lambang ini, manakala alasan kecuaian pekerja adalah tidak wajar kerana majikan warganegara wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di premis masing-masing," jelasnya.
Mohd. Jafni berkata, arahan tindakan penutupan premis yang dikeluarkan adalah selari sebagaimana peruntukan yang dinyatakan dalam Undang-undang Kecil (UUK) 49(2), Kuasa Menutup Premis, setelah pengesahan terhadap pelanggaran peruntukan yang dilakukan oleh premis berkenaan.
Katanya lagi, ia kekal sebagaimana UUK 45(1), Pengibaran Bendera, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.
"Ini bermakna tindakan berkenaan mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan bukan keputusan sewenang-wenangnya," katanya.
Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa sekiranya insiden seperti ini berulang, tindakan yang lebih tegas dan tanpa kompromi akan diambil.
"Ketegasan undang-undang amat penting supaya setiap rakyat dan pihak berkepentingan benar-benar menghormati lambang kedaulatan negara serta negeri, sekali gus menutup ruang daripada alasan remeh yang boleh mencemarkan maruah bendera yang kita semua sayangi," ujarnya.
0 Ulasan