Polis nafi dakwaan palsu wanita Cina cuba serang Sultan Nazrin

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tular di Facebook kononnya seorang wanita berbangsa Cina ditahan selepas menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, tangkapan sebenar dibuat terhadap seorang wanita tempatan berbangsa Melayu berusia 41 tahun.

“Ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas tangkapan dan keputusan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Beliau mengesahkan polis Perak mengesan penularan di Facebook mengenai insiden itu termasuk hantaran pada pautan:

https://www.facebook.com/share/v/16jEs8XqiY/?mibextid=wwXlfr

Menurut beliau Kumar, siasatan terhadap tangkapan berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan kesalahan yang boleh dihukum.

Bagi penularan berita palsu pula, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

“Justeru, PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia,” tegasnya.

BACA LAGI 




Catat Ulasan

0 Ulasan