Pemuda UMNO bantah hasrat PKR bertanding di Mersing & Endau

 

Peta: arcgis.com

Pemuda UMNO Bahagian Mersing menegaskan parti itu akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau kembali sebagai kawasan tradisi Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu dibuat susulan hasrat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang mahu partinya bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azhar Zainal Abidin berkata, UMNO telah membuktikan rekod perkhidmatan cemerlang di kawasan tersebut sejak sekian lama.

“UMNO Barisan Nasional telah membuktikan rekod khidmat yang cemerlang di Mersing, bukan sahaja dalam aspek pembangunan infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga dalam membela kepentingan rakyat di kawasan parlimen dan DUN ini. 

"Sokongan rakyat terhadap UMNO BN masih kuat meskipun tewas dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan Pemuda UMNO Mersing berdiri teguh di belakang kepimpinan parti untuk mempertahankan kerusi tradisi itu.

“Kami yakin bahawa rakyat Mersing dan Endau lebih mengenali siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya datang menabur janji ketika musim pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh jentera parti, khususnya anak muda, supaya memperkukuh gerak kerja di lapangan dan lebih agresif mendekati rakyat.

“Kita tidak boleh leka dengan percaturan politik pihak lawan. 

"Sebaliknya, kita mesti lebih agresif mendekati rakyat, menyelesaikan masalah mereka, dan mengangkat agenda pembangunan belia serta masyarakat setempat,” jelasnya.

Azhar berkata, UMNO Mersing kekal komited memperjuangkan nasib rakyat dan yakin kekuatan akar umbi akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau dirampas kembali.

“UMNO Mersing kekal komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. 

"Kita percaya bahawa kekuatan akar umbi yang padu bersama semangat perjuangan yang diwarisi akan memastikan kerusi Parlimen Mersing dan DUN Endau akan dirampas kembali di bawah panji UMNO BN,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan