Muhyiddin jangan jadi talam dua muka dalam isu diesel - Wei Kiat


Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 2022, pernah mencadangkan Skim Subsidi Bersasar untuk menjimatkan RM20 bilion setahun.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat menyatakan, ketika itu, Muhyiddin berkata hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 sahaja yang berhak menerima subsidi.

ADUN Rawang itu memberitahu, ia tidak seperti sekarang di mana semua pihak tanpa mengira status kaya atau miskin, warga asing atau tempatan menikmati subsidi yang sama.

"Namun, selepas Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa hanya golongan tertentu boleh menikmati subsidi diesel, Muhyiddin seolah-olah hilang ingatan dan menyatakan kesedihannya memikirkan kesan penyasaran tersebut.

"Muhyiddin perlu ingat bahawa kerajaan tidak menghapuskan subsidi sepenuhnya, tetapi mengagihkannya dengan cara yang lebih tepat melalui inisiatif Budi Madani. 

"Setakat ini, sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel telah mula menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 melalui inisiatif Budi Madani," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wei Kiat menambah, ia berbeza dengan cadangan yang dilontarkan oleh Muhyiddin pada  2022, di mana beliau hanya mencadangkan penyasaran semula subsidi dan tidak menyentuh langsung mengenai bantuan tunai yang perlu diberikan kepada rakyat.

Menurut beliau, subsidi pukal yang ditanggung oleh kerajaan perpaduan adalah sebanyak RM60 bilion setahun yang dibayar kepada syarikat minyak, dan subsidi cara lama ini banyak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencuri subsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

"Kerajaan dan rakyat Malaysia juga tidak mahu kes seperti anak kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, berulang," jelasnya.




Wei Kiat berkata, setiap perubahan pasti akan menghadapi tentangan. 

"Dalam zaman kini dengan kenaikan kos sara hidup, kerajaan antara yang paling terjejas disebabkan perbelanjaan yang besar. 

"Sekarang, Kerajaan Perpaduan mempunyai hala tuju yang jelas untuk mereformasi sistem ekonomi negara, dan ia patut dipercepatkan supaya hasil perubahan dapat dirasai oleh rakyat dalam masa terdekat," ujarnya. - TUKANG TULIS

#malaysia #politik #diesel #muhyiddin

Catat Ulasan

0 Ulasan