Syed Husin Ali meninggal dunia



Allahyarham yang juga salah seorang pengasas PKR berumur 87 tahun.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut berkongsi kesedihan atas pemergian Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu.

Menurut beliau, antara lain, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia dan Profesor di Universiti Malaya.

"Saya telah menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas. 

"Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu," katanya  dalam laman Facebook hari ini.




Beliau menambah, Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta “Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN”, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air.

Fahmi sendiri pernah membantu kempen Allahyarham pada PRU 2004 waktu beliau bertanding di Petaling Jaya Selatan.

"Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. 

"Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin, dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

"Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang beriman," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan