Nizar Najib nafi jumpa pemimpin pembangkang jatuhkan kerajaan Pahang

ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib menafikan sekeras-kerasnya desas-desus yang menyatakan beliau telah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk jatuhkan kerajaan negeri Pahang. 

Menurut beliau, pertemuan dongeng itu tidak pernah berlaku sama sekali.

"Ayahanda Dato' Sri Najib selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. 

"Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan. 

"Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad Nizar menambah, Wan Rosdy juga telah banyak membantu pengundinya di Peramu Jaya, Pekan. 

Tambah beliau, Wan Rosdy merupakan seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati. 

"Mana mungkin saya seorang Exco kerajaan negeri Pahang dan ADUN kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan," jelasnya.

Mohamad Nizar menegaskan, beliau bukan seorang katak politik yang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjual’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.

"Oleh itu cukup-cukuplah sebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah sekeras-kerasnya sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: 

"Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (Hadis riwayat al-Bukhari)”.

"Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan negeri Pahang yang ada sekarang," ujarnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan