Ramai berharap PAS dan UMNO kembali bekerjasama - Fadhli


Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari masih berharap agar kerjasama antara partinya dan UMNO dapat dijalinkan semula.

Menurut beliau, ramai pihak yang sentiasa mengharapkan agar terjalin semula perpaduan ummah atas kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu sebagai golongan majoriti di negara ini, merangkumi semua parti-parti berteraskan bumiputera. 

"Sama ada ia berlaku atau tidak, masa akan menentukan," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas mengenai penafian Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa berlaku perbincangan antara PAS dan UMNO bagi mewujudkan kerjasama menghadapi PRU16 nanti. 


Berhubung perkara tersebut, Ahmad Fadhli menjelaskan, sememangnya beliau juga tidak menyebut adanya perbincangan untuk mewujudkan kerjasama, bahkan beliau bukan berada di peringkat pembuat keputusan penting dalam Perikatan Nasional (PN) dan PAS. 

"Apa yang saya nyatakan kepada wartawan hanyalah menjawab soalan, ada bertemu ke dengan pemimpin UMNO? 

"Saya kata tentulah ada, jumpa di cafe parlimen, kenduri kahwin, terserempak di airport dan sebagainya. Bila berjumpa, berborak, begitu jelah. 

"Saya sudah sebut kepada wartawan, ia bukan perbincangan formal, ia hanya 'borak-borak biasa' dan tak manis untuk saya sebutkan nama-nama yang terlibat," ujarnya.

PAS dan UMNO pernah bekerjasama dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14 namun hubungan itu tidak berkekalan.

MN mula retak setelah Perikatan Nasional (PN) dibentuk dan semakin berantakan selepas PRN Sabah pada 2020 yang menyaksikan calon-calon PAS dan UMNO berentap di beberapa kerusi.




Catat Ulasan

0 Ulasan