Zahid tarik balik saman fitnah terhadap Malaysiakini


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menarik balik saman fitnah terhadap Malaysiakini.

Beliau telah memfailkan saman terhadap MalaysiaKini pada 24 Mac 2021 bersabit dengan penerbitan 22 laporan berbaur fitnah dan selektif berkaitan prosiding jenayah terhadap saya di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, kata Presiden UMNO itu, oleh kerana prosiding jenayah tersebut telah dilupuskan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah pada 04 September 2023, belau telah dinasihatkan oleh peguam untuk tidak lagi meneruskan prosiding saman fitnah terhadap Malaysiakini.

Ahmad Zahid memberitahu, ia adalah bagi menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak memprejudis pihak-pihak yang terlibat. 

"Walaupun tindakan yang dilakukan oleh defendan-defendan telah mencemar nama baik dan memberikan sentimen negatif terhadap diri saya - namun setelah mempertimbangkan nasihat peguam dan melihat kepada perkembangan semasa, saya telah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan isu ini dan berharap defendan-defendan lebih bertanggungjawab dan telus ke atas semua laporan-laporan yang diterbitkan terhadap saya selepas ini. 

"Saya juga berharap laporan-laporan yang berbaur fitnah dan selektif seperti yang dikeluarkan sebelum ini tidak berulang lagi di masa akan datang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau juga menyeru kepada pemain-pemain media dan semua pemegang taruhnya untuk terus bersandarkan kepada prinsip dan etika kewartawanan yang tinggi dan berhemah atas setiap penerbitan yang dikeluarkan. 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, terbitan berita yang salah, laporan yang selektif, bias dan tidak tepat tentu sekali merencatkan keyakinan awam kepada nilai kewartawanan yang bertanggungjawab dan ia juga akan mencemarkan integriti lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama baik dan keperibadian seseorang atau sesebuah institusi. 

"Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Mahkamah dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat sepanjang prosiding ini berlangsung – yang pastinya tertib menjalankan tugasan dalam menegakkan keadilan dan kesaksamaan rakyat keseluruhannya," jelasnya.




Catat Ulasan

0 Ulasan