Amanah Kluang jangan kemaruk sangat minta kerusi DUN Mahkota


Tiga hari selepas bekas ADUN Mahkota, Allahyarham Datuk Syed Azizah Syed Zain meninggal dunia, sudah kedengaran suara sumbang daripada pemimpin Amanah menuntut kerusi yang kosong itu.

Bak kata orang, tanah kubur masih merah lagi, sudah kemaruk berebut kerusi.

Semalam, Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak supaya calon partinya diberi peluang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota nanti.

Sudah tentu permintaan beliau itu dibantah oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose yang menyifatkan permintaan Amanah sebagai tamak.

Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda pula mengungkit bahawa sehingga kini, Kerajaan Perpaduan tidak wujud di Johor.

Malah, katanya, PH termasuk Amanah dinafikan peranan mereka dalam keanggotaan ahli majlis PBT dan lantikan ketua kampung.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad cuba meredakan ketegangan yang berpunca daripada sifat gelojoh Amanah kemaruk kerusi.

Beliau meminta semua pihak menahan diri daripada membicarakan tentang kerusi DUN Mahkota dan menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham.

DUN Mahkota


Mungkin pemimpin-pemimpin Amanah lupa bahawa BN menang bergaya pada PRN Johor 2022.

BN berjaya membentuk kerajaan setelah memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, berbanding PH 13 kerusi dan PN 3 kerusi.

Dengan majoriti dua pertiga, kedudukan BN di Johor ketika itu adalah amat kukuh.

Kerajaan negeri Johor sedia ada dibentuk sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

Maka, BN Johor tak perlu memberi muka kepada PH termasuk Amanah untuk menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Tambahan pula, formula status quo diguna pakai dengan memberi kelebihan kepada parti penyandang.

Maka, sepatutnya calon BN yang lebih berhak untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota kelak.

Kalau Amanah tak mahu bantu berkempen pun, lebih baik mereka duduk diam sahaja daripada meroyan tak tentu hala semata-mata kerana rakus sangat hendak dapat kerusi.





Catat Ulasan

0 Ulasan