Berikut adalah kenyataan media Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid pada 4 Mei 2026:
Saya bersama rakan-rakan ADUN UMNO dan Barisan Nasional Negeri Sembilan menegaskan bahawa pendirian kami terhadap kepimpinan Menteri Besar adalah jelas dan tidak berubah.
Isu ini bukan soal perebutan jawatan. Ini bukan soal “tebuk atap”. Ini soal keyakinan, keabsahan kepimpinan, tertib pentadbiran, adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
UMNO tidak mencari jalan belakang. UMNO menuntut jalan yang betul.
Apabila keyakinan terhadap Menteri Besar telah terhakis, penyelesaiannya bukan melalui tuduhan politik, bukan melalui spekulasi, dan bukan melalui kenyataan yang mengelirukan rakyat.
Kami kekal menjunjung institusi Raja, menghormati adat Negeri Sembilan, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan menjaga kestabilan rakyat.
Namun, kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kepimpinan atau mengelak pertanggungjawaban.
Nama baik UMNO tidak tercalar apabila UMNO bersuara atas prinsip. Nama baik UMNO hanya tercalar jika UMNO berdiam diri apabila adat, Perlembagaan Negeri dan tata kelola pentadbiran dipersoalkan.
Sehubungan itu, saya menegaskan pendirian kami:
Junjung adat. Pertahankan Perlembagaan Negeri.
0 Ulasan