Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ramai pencacai politik termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli masih lagi terperangkap dengan persepsi lapuk kononnya tindakan 14 ADUN BN di Negeri Sembilan sebagai tebuk atap.
Menurut beliau, isu sebenar adalah mereka hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dikatakan tiada keupayaan menyelesaikan krisis perlembagaan dan adat negeri sehingga menyebabkan situasi politik menjadi kucar-kacir.
"Sebab itu 14 ADUN termasuk Tok Mat kekal tarik sokongan walaupun setuju menyokong kerajaan Madani Negeri Sembilan.
"Itu bukti mereka bukan mahu tebuk atap. Itu bukan tarik hand brake. Mereka tidak kisah siapa jadi MB asalkan bukan Aminuddin (ABA).
"Sebab itu BN tidak berunding dengan PN untuk tebuk atap," katanya dalam hantaran Facebook pada 3 Mei 2026.
Mohd. Puad menambah, krisis adat sekarang adalah sama dengan yang berlaku pada 2016.
"Cuma dulu melibatkan Undang Luak Johol. Sekarang Undang Luak Sungai Ujong. Tetapi Tok Mat berjaya selesaikan isu tahun 2016 dengan berhemah.
"Bermakna MB UMNO lebih kompeten daripada MB PH. Sebab itu isu banjir dan babi tidak selesai di Selangor sehingga Sultan Selangor murka.
"Di Johor, Pahang, Perak dan Melaka keadaan lebih tenteram dan aman. Sebab negeri itu dipimpin oleh UMNO," katanya.

0 Ulasan