SOALAN LAZIM UMNO & BARISAN NASIONAL NEGERI SEMBILAN
Pendirian UMNO/BN Negeri Sembilan Berhubung Krisis Institusi Adat, Perlembagaan Negeri dan Keyakinan Terhadap Menteri Besar
UMNO/BN Negeri Sembilan mengambil pendirian ini dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan kerana mahu menimbulkan ketegangan politik, bukan kerana mahu mencampuri urusan adat, dan bukan kerana mengejar kuasa.
Pendirian ini dibuat selepas krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan gagal diurus dengan tertib sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, pentadbiran kerajaan negeri dan keharmonian rakyat.
UMNO/BN Negeri Sembilan tetap menjunjung Institusi Diraja, menghormati Institusi Adat, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dan mahukan kerajaan negeri yang stabil demi rakyat.
1. Apakah isu sebenar yang berlaku?
Isu sebenar bukan perebutan jawatan Menteri Besar.
Isu sebenar ialah krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan telah berkembang menjadi krisis keyakinan terhadap cara Menteri Besar mengurus perkara tersebut.
UMNO/BN Negeri Sembilan berpendirian bahawa isu adat sepatutnya diurus dengan penuh tertib, bijaksana dan berhati-hati. Namun apabila kenyataan Menteri Besar dalam isu ini dipertikai oleh pihak adat yang terlibat, dan apabila Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan dalam sebarang perbincangan kerajaan negeri sebelum isu menjadi kritikal, maka keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah terjejas.
Lebih mengecewakan apabila pihak adat turut tidak hadir ke pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri yang memberi gambaran bahawa situasi telah menjadi amat kritikal.
2. Adakah UMNO/BN mencampuri urusan adat?
Tidak.
UMNO/BN Negeri Sembilan tidak menentukan siapa betul atau salah dalam pertikaian adat.
UMNO/BN juga tidak mengambil peranan untuk menggantikan Institusi Adat atau membuat keputusan bagi pihak adat.
Pendirian UMNO/BN adalah jelas: urusan adat hendaklah diselesaikan oleh institusi adat mengikut tertib adat, perlembagaan dan undang-undang negeri.
Yang dipersoalkan oleh UMNO/BN ialah tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri, khususnya apabila Menteri Besar dilihat membuat kenyataan muktamad dalam isu adat yang masih dipertikai oleh pihak adat sendiri.
3. Mengapa kenyataan Menteri Besar dipersoalkan?
Kenyataan Menteri Besar dipersoalkan kerana beliau menyatakan bahawa Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April 2026 telah bersetuju menasihati dan menerima kesepakatan berkaitan pemberhentian Dato’ Mubarak bin Dohak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong.
Namun, kenyataan tersebut kemudian dipertikai oleh pihak adat yang terlibat. Media melaporkan bahawa empat Undang mempertikaikan dakwaan MB bahawa DKU telah menasihati agar Mubarak Dohak diberhentikan. Mereka mendakwa ahli DKU yang hadir tidak membuat keputusan kolektif dan sebulat suara dalam sidang khas tersebut.
Sebab itu UMNO/BN berpandangan bahawa isu ini memerlukan penjelasan rasmi yang lebih lengkap, termasuk asas keputusan, minit mesyuarat, senarai kehadiran dan bentuk keputusan yang sebenar.
4. Apa itu DKU?
DKU ialah Dewan Keadilan dan Undang.
Fungsinya sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu, termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Persoalan timbul: jika DKU hanya penasihat, apakah asas kerajaan negeri untuk mengeluarkan kenyataan yang kelihatan muktamad tentang status seseorang Undang dalam isu adat yang masih dipertikai?
5. Apakah perkara yang memerlukan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar?
UMNO/BN berpandangan beberapa perkara perlu dijelaskan:
Adakah Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 benar-benar mencapai keputusan kolektif dan sebulat suara?
Jika keputusan itu wujud, di manakah minit mesyuarat, senarai kehadiran dan rekod sokongan rasmi?
Jika DKU hanya badan penasihat, atas kapasiti apakah kerajaan negeri membuat kenyataan yang dilihat sebagai keputusan muktamad?
6. Adakah UMNO/BN menyebelahi mana-mana pihak adat?
Tidak.
UMNO/BN menghormati Institusi Adat Negeri Sembilan dan tidak mahu urusan adat dijadikan medan pertelingkahan politik terbuka.
Namun, UMNO/BN tidak boleh berdiam diri apabila tindakan atau kenyataan kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat sehingga mencetuskan pertikaian, kekeliruan awam dan krisis keyakinan terhadap pentadbiran negeri.
Konflik adat biar institusi adat selesaikan. Tetapi kegagalan eksekutif kerajaan negeri mengurus krisis ini tetap perlu dijawab.
7. Mengapa Exco UMNO/BN tidak dimaklumkan menjadi isu besar?
Kerana krisis ini melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, kestabilan kerajaan dan keharmonian rakyat.
Exco UMNO/BN tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah kritikal.
Ini menunjukkan kegagalan komunikasi, kegagalan penyelarasan dan kegagalan pengurusan krisis di peringkat kepimpinan negeri.
8. Mengapa UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar?
Kerana keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar telah hilang. Kesemua 14 ADUN UMNO/BN sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri.
9. Adakah tindakan ini bermaksud UMNO/BN mahu “tebuk atap”?
Tidak.
UMNO/BN membuat pendirian terbuka, rasmi dan bertanggungjawab bahawa keyakinan terhadap Menteri Besar telah hilang.
Selepas PRN 2023, UMNO/BN memilih untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan demi kestabilan, walaupun BN mempunyai 14 kerusi.
Komposisi DUN selepas PRN 2023: PH 17 kerusi, BN 14 kerusi, PN 5 kerusi.
10. Adakah UMNO/BN melawan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?
Sama sekali tidak.
UMNO/BN menjunjung kasih dan menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Institusi Diraja dan Institusi Adat. Pendirian UMNO/BN adalah terhadap cara Menteri Besar mengurus krisis, bukan terhadap Tuanku.
11. Adakah UMNO/BN menolak kestabilan kerajaan negeri?
Tidak.
UMNO/BN mengambil pendirian ini kerana mahu kestabilan dikembalikan. Kestabilan memerlukan keyakinan, ketelusan, kebijaksanaan kepimpinan, penghormatan kepada institusi, dan pentadbiran yang tidak mencetuskan kekeliruan rakyat.
12. Adakah UMNO/BN akan membentuk kerajaan baharu dengan PN?
Fokus UMNO/BN ketika ini bukan soal jawatan atau pembentukan kerajaan baharu.
Fokus utama ialah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar dan keperluan mengembalikan kestabilan negeri mengikut proses perlembagaan.
13. Adakah UMNO/BN bersedia melalui proses Dewan Undangan Negeri?
Ya.
UMNO/BN menghormati proses perlembagaan dan proses Dewan Undangan Negeri.
Pemakluman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas sidang media.
Menteri Besar sendiri menyatakan tiada masalah untuk usul undi tidak percaya dibawa dalam persidangan akan datang.
14. Apakah pendirian UMNO/BN terhadap rakyat Negeri Sembilan?
UMNO/BN memahami rakyat mahu suasana tenang, pentadbiran berjalan, ekonomi dijaga, keharmonian dipelihara.
Pendirian UMNO/BN dibuat supaya kerajaan negeri kembali kepada asas yang betul:
hormat adat;
hormat perlembagaan;
hormat institusi;
telus dalam pengurusan krisis;
fokus semula kepada rakyat.
Rujukan Fakta
Kenyataan Media Menteri Besar Negeri Sembilan, 20 April 2026
Bernama, 20 April 2026
The Star,
0 Ulasan