Dewan Ulamak PAS desak kerajaan batal Festival Muzik Air Rain Rave

 

Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Mohd. Nor Hamzah pada 30 April 2026:

1. ​Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merujuk kepada laporan media mengenai pendirian YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Seri Tiong King Sing yang mempertahankan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang. Beliau menyifatkan acara tersebut sebagai strategi merangsang ekonomi pelancongan negara.

2. ​DUPP menegaskan bahawa alasan "ekonomi" tidak boleh dijadikan lesen untuk menghalalkan program yang jelas berteraskan budaya hedonisme dan pergaulan bebas. Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan mestilah membina kemajuan berlandaskan nilai moral dan syariat, bukannya meniru bulat-bulat budaya luar yang mengundang kemungkaran.

​3. ​Kita kini berada di ambang krisis ekonomi dunia yang mencabar di mana rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup. Dalam suasana genting ini, pendekatan kerajaan sepatutnya adalah dengan memohon rahmat Allah SWT melalui ketaatan, bukannya mempromosikan festival "pesta air" yang melalaikan.

4. ​Dakwaan bahawa acara ini "tersusun" tidak menjamin ketiadaan unsur maksiat. Sejarah membuktikan festival berkonsepkan rave sering menjadi titik tolak keruntuhan moral. Kita tidak mahu mengejar keuntungan duniawi yang tidak berkat, yang akhirnya dibayar dengan bala bencana dan kerosakan sahsiah anak bangsa.

​5. ​DUPP ingin memperingatkan kerajaan bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi adalah akibat tangan-tangan manusia yang membelakangi agama. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:

​ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: ​“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (bertaubat kepada Allah).”

1. ​Ancaman ini diperkukuhkan lagi dengan peringatan Rasulullah SAW berkenaan impak maksiat yang dilakukan secara terbuka (mujaharah) terhadap kestabilan hidup dan kesihatan masyarakat. Sabda Nabi SAW dalam Hadith Riwayat Ibn Majah (No. 4019):

​لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا

Maksudnya: ​"Tidaklah kekejian (maksiat/zina) tersebar dalam suatu kaum, kemudian mereka melakukannya secara terang-terangan (terbuka), kecuali akan tersebar di kalangan mereka wabak penyakit dan kelaparan (kesempitan hidup) yang belum pernah terjadi kepada nenek moyang mereka yang terdahulu."

1. Di manakah peranan dan tanggungjawab Perdana Menteri, Menteri Agama dan pemimpin beragama Islam dalam membendung program maksiat ini. Tidakkah mereka berasa gerun dan beriman dengan ancaman Allah dan RasulNya? 

2. ​Sehubungan itu, DUPP mendesak supaya ​kerajaan Malaysia untuk membatalkan penganjuran Rain Rave Bukit Bintang serta-merta bagi menghormati sensitiviti umat Islam dan menjaga moral rakyat.​

3. Kementerian Pelancongan perlu lebih kreatif beralih kepada promosi pelancongan yang beretika, sopan, dan patuh syariah yang lebih menjamin keberkatan ekonomi jangka panjang.

4. ​Janganlah kita mencabar kekuasaan Allah SWT di saat kita amat memerlukan pertolongan-Nya. Di saat ekonomi rapuh, kita perlukan "pintu langit" dibuka melalui ketaatan, bukan ditutup melalui kemungkaran yang dipromosikan secara rasmi.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan