Ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti

 

Berikut adalah kenyataan media bekas Ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad pada 29 April 2026:

Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai:

* Ahli Parti Amanah Negara

* Ketua Pemuda Amanah Negeri Perlis

* Ketua Pemuda Amanah Kawasan Kangar

* Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Parti Amanah Negara

Keputusan ini dibuat setelah melalui proses pertimbangan yang panjang, teliti dan mendalam, khususnya terhadap peranan saya sebagai pemimpin muda serta hala tuju perjuangan yang ingin saya bawa.

Sepanjang tempoh saya bersama Parti Amanah Negara, saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyumbang kepada pembangunan parti, memperkukuh suara anak muda serta mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan rakyat.

Namun demikian, saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui. Sebagai seorang pemimpin muda, saya percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal keberanian untuk kekal berpegang kepada prinsip, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada semua jawatan serta keahlian parti bagi memberi ruang kepada kepimpinan lain meneruskan agenda mereka, di samping membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha-usaha yang lebih dekat dengan masyarakat dan selari dengan prinsip perjuangan saya.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pimpinan, rakan seperjuangan serta anggota parti di semua peringkat atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang perjalanan ini.

Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang saya memegang amanah yang diberikan.

Akhir kalam, saya mendoakan agar Parti Amanah Negara terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai matlamat yang dihasratkan.

Semoga segala usaha kita dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan