Isu 3R: Muhyiddin beri keterangan kepada polis esok

 

Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa esok berhubung kenyataan berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan media, hari ini.

"Pucuk pimpinan Bersatu sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Muhyiddin semasa kempen di PRK Nenggiri pada malam 14 Ogos 2024 lalu.

"Bersatu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden dan Pengerusi Perikatan Nasional bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada hari esok.

"Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan malam kelmarin.

Jiwa Merdeka




Catat Ulasan

0 Ulasan