PN Pahang sokong titah Tengku Hassanal

 


PN Pahang menjunjung kasih menyokong titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar siasatan yang adil dijalankan terhadap kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 semasa berkempen pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan itu dinyatakan oleh semua ADUN PN di negeri berkenaan.

"Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mereka turut menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam menjalankan tugas baginda sebagai payung tempat mereka semua bernaung.

Semalam, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan malam kelmarin.


Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan