Muhyiddin nafi ucapannya berniat hina raja

 

Gambar: FB Muhyiddin Yassin

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ucapannya ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri baru-baru ini  langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja di negara ini. 

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana beliau menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.

Namun katanya, terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapannya termasuk menyunting video ucapan itu dengan niat untuk memfitnah kononnya beliau telah menghina Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menghasut rakyat supaya membenci raja.

"Dalam kenyataan saya kepada pihak polis hari ini saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. 

"Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15. 

"Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 14 Ogos lalu.

Tambah Muhyiddin, perkara itu pun telah berlaku hampir dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu beliau tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini. 

Katanya, beliau juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

"Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10. 

"Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah," jelasnya.

Hari ini, Muhyiddin telah menyerahkan dokumen-dokumen berikut kepada pihak polis bagi membantu siasatan:

i. Dua pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2.00 petang;

ii. Sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022;

iii. Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Kolonel (B) Dato Nazim Bin Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut; dan

iv. Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

Beliau berharap polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.

"Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan raja-raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi raja berperlembagaan jangan dipersoalkan," tegasnya.



















Jiwa Merdeka



Catat Ulasan

0 Ulasan