MOTAC atur mesyuarat khas isu daftar masuk keluar hotel

 

Tiong King Sing


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengaturkan mesyuarat khas berhubung isu waktu daftar masuk dan daftar keluar industri perhotelan di negara ini dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu diambil ekoran kebimbangan yang disuarakan oleh orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan.

"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan kementerian ini untuk segera mengatur satu mesyuarat khas bersama semua pihak yang berkenaan, khususnya para pengusaha industri perhotelan, sebaik sahaja saya kembali ke Malaysia. 

"Mesyuarat ini adalah bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh dan memastikan satu penyelesaian yang adil serta tidak membebankan pelanggan dapat dicapai," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai rungutan orang ramai berhubung dasar kebanyakan hotel dan inap desa yang menetapkan waktu daftar masuk seawal pukul 3 petang dan waktu daftar keluar selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari.

Mereka tidak berpuas hati kerana menyifatkan tempoh yang diberikan itu tidak mencukupi dan tidak berpatutan dengan caj yang dikenakan.

King Sing menambah, adalah menjadi keutamaan beliau untuk memastikan bahawa amalan dan polisi yang dilaksanakan oleh pihak hotel adalah selaras dengan kepentingan pengguna, sambil memastikan kelangsungan industri perhotelan yang berdaya saing dan mampan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa MOTAC akan mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani isu tersebut.

"Pandangan serta cadangan daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira dalam proses membuat keputusan, demi memastikan industri perhotelan di Malaysia terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan," jelasnya.

King Sing memaklumkan, pada masa ini, beliau sedang mewakili negara untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan akan segera kembali untuk menangani isu tersebut dengan sewajarnya. 

"Terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor pelancongan negara," katanya.


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan