MoU bertujuan tutup mulut pembangkang di Parlimen - Tun M

Gambar: FB Tun Mahathir Mohamad


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, perjanjian persefahaman (MoU) yang ditawarkan kerajaan Madani kepada pembangkang bertujuan menutup mulut mereka di dalam Dewan Rakyat.

Menurut beliau, MoU itu yang dikatakan untuk kestabilan dan kemajuan negara adalah di luar undang-undang (extra judicial).

"Walaupun konon MOU bertujuan untuk menghapus kebencian dan perkauman oleh wakil rakyat di Parlimen tetapi yang jelas ialah kerajaan yang akan tafsir sesuatu ucapan itu berbau perkauman, atau kebencian atau tidak. 

"Speaker juga boleh larang wakil rakyat pembangkang. Mereka tidak dapat pertahan ucapan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir turut menyifatkan syarat menandatangani MoU bagi mendapatkan peruntukan bagi kawasan sebagai rasuah. 

Beliau menambah, duit kerajaan bukan milik parti pemerintah kerana ia milik rakyat dan peruntukan sepatutnya diberi sama rata antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

"Kerajaan dahulu bagi RM400 juta kepada Kelantan, RM200 juta kepada Terengganu dan Kedah tanpa syarat walaupun negeri-negeri ini adalah negeri parti bukan kerajaan Pusat. Nak beli Mercedes pun tidak disoal," jelasnya.

Dr Mahathir berkata, rakyat yang lebih berhak menolak pihak yang mengamalkan perkauman dalam pilihan raya, bukannya kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar MoU tersebut ditolak dan menyeru untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Pada 14 September lalu, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbang penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan draf kepada PN, bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Julai lalu dilaporkan, berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.


JIWA MERDEKA









Catat Ulasan

0 Ulasan