Berikut adalah hantaran Facebook Najib Razak hari ini:
Pengakuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berpotensi membuka mata ramai.
Beliau menyatakan bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat kerana dilakukan secara terburu-buru dan “penuh racun serta permusuhan,” yang berpunca daripada dendam politik semasa pentadbiran PH1.0.
Sebelum ini, Tommy Thomas menyalahkan mendiang Gopal Sri Ram berkaitan kes IPIC. Kini, Anwar memberi gambaran bahawa Tommy dan mendiang Gopal mungkin telah menyalahgunakan kuasa atas arahan pihak tertentu untuk mengenakan Najib dan Rosmah dengan pelbagai tuduhan yang tidak kukuh.
Antara kes-kes yang dimaksudkan:
1. Kes AMLA Rosmah
Hakim membatalkan semua tuduhan atas alasan tuduhan cacat dan melanggar undang-undang. Perbicaraan kes ini hanya berlangsung selama dua hari sejak didakwa lebih enam tahun lalu sebelum dibatalkan.
2. Kes IPIC Najib
Najib diberikan DNAA kerana pihak pendakwaan mengambil masa terlalu lama untuk menyerahkan dokumen penting, walaupun kes telah ditangguhkan berpuluh kali sejak Najib didakwa lebih enam tahun lalu.
Malah, memorandum dalaman AGC yang terbocor menunjukkan keseluruhan pasukan pendakwaan kes ini – melibatkan lima DPP dan tujuh penyiasat – sebulat suara menyatakan bahawa kes ini tidak sepatutnya didakwa kerana tiada bukti yang menunjukkan Najib bersalah.
3. Kes Laporan Audit Najib
Mahkamah melepas dan membebaskan Najib dengan keputusan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk meminda laporan audit 1MDB. Pindaan yang dibuat pula dianggap remeh dan tidak memberi kesan signifikan.
4. Kes SRC 2.0 Najib
Kes yang masih berjalan ini telah berulang kali ditangguhkan oleh pihak pendakwaan dan tidak pernah bermula sejak didakwa lebih enam tahun lalu. Seperti kes AMLA Rosmah, tiada tuduhan predikat yang kukuh, dan ia berpotensi dibatalkan kerana cacat.
Tambahan pula, kes ini mungkin melibatkan isu “double jeopardy” kerana ia berkaitan tertuduh, akaun bank, saksi, dan fakta yang sama, sekali gus melanggar Perlembagaan Persekutuan bahawa seseorang tidak boleh didakwa dua kali bagi kes yang sama.
5. Kes Saman Sita Aset Najib dan Keluarga
Najib telah beberapa kali menang dalam kes saman sita aset, dengan hakim menyatakan tiada bukti bahawa barang-barang tersebut berasal daripada kegiatan jenayah atau dana haram. Sebaliknya, kebanyakan barang tersebut adalah hadiah peribadi yang diterima keluarga Najib selama bertahun-tahun. Mahkamah turut mengarahkan barang-barang tersebut dipulangkan kepada Najib.
6. Kes 1MDB-Tanore
Masih dalam perbicaraan, walaupun Mahkamah Switzerland tidak mengaitkan Najib dalam penipuan 1MDB, dan laporan The Edge mengesahkan emel dalaman PetroSaudi menunjukkan Najib tidak terlibat atau menerima sebarang wang daripada PetroSaudi.
7. Kes tuntutan cukai RM1.7 bilion ke atas Najib
Sehingga kini, masih tiada sesiapa yang mampu menjelaskan mengapa dana RM2.6 bilion, yang telah dipulangkan terus ke akaun penghantar hanya empat bulan selepas diterima, boleh dianggap sebagai pendapatan Najib dan dikenakan cukai serta denda.
Mahkamah pula memutuskan bahawa undang-undang tidak membenarkan taksiran LHDN dipertikaikan, dan Najib diwajibkan membayar dahulu sebelum membuat rayuan.
8. Isu SRC RM42 juta Najib
Kes yang menyebabkan Najib dipenjara 12 tahun juga penuh dengan persoalan. SPRM mendedahkan bahawa dana RM42 juta yang masuk ke akaun Najib bukan berasal daripada KWAP, tetapi daripada pinjaman Maybank yang dibuat oleh Putrajaya Perdana.
Tuduhan predikat kes ini menyatakan Najib melakukan pecah amanah kerana menyertai mesyuarat kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC dari KWAP.
Namun, jika dana tersebut bukan dari KWAP, ia tidak boleh dianggap haram.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak turut menyatakan bahawa ketidakadilan besar telah berlaku dalam kes SRC ini dan keputusan yang betul adalah membebaskan Najib.
Pendakwaan sangat mudah untuk dilakukan, tetapi bagi tertuduh yang didakwa secara tidak adil, mereka terpaksa berdepan ratusan sesi mahkamah dan menanggung kos peguam yang tinggi selama lebih enam tahun.
Kerajaan juga turut menanggung kos guaman dan kos pendakwa raya serta kos mahkamah tinggi bagi kes-kes mengarut yang akhirnya terbukti merupakan satu pembaziran wang Rakyat.
Adakah ini adil dan patut?
0 Ulasan