Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyelaraskan pelanjutan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara India sehingga 31 Disember 2026.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sebelum ini, kemudahan pengecualian visa ini telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2024 di bawah Program Liberalisasi Visa yang bertujuan untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.
Menurut beliau, untuk rekod, sepanjang tempoh pengecualian ini, bermula 1 Disember 2023 hingga 1 Disember 2024, JIM telah merekodkan kemasukan pelawat India seramai 916,821 orang.
"Inisiatif kemudahan pengecualian visa ini telah meningkatkan jumlah kemasukan pelawat India sebanyak 223% berbanding 283,885 pelawat pada 2023. Peningkatan ini telah memberi ransangan kepada industri perniagaan di Malaysia.
"Kemasukan pelancong bukan sahaja akan menjana pendapatan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan," jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Zakaria memberitahu, bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, JIM akan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sepertimana ketika awal pelaksanaannya pada 2023.
Beliau menambah, antara bentuk kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing, prosedur ketat Notis Penolakan Masuk dan pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).
"Di samping itu, proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan di mana pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah.
"Jabatan Imigresen Malaysia tidak berkompromi dengan aspek keselamatan sedia ada dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi menambahbaik kelancaran pergerakan keluar masuk negara yang secara tidak langsung dapat menyokong industri pelancongan negara," katanya.
0 Ulasan