Tiada kenaikan tarif elektrik Semenanjung hingga 30 Jun 2025 - PETRA


Berikut adalah kenyataan media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini:

Pada 13 Disember 2024, Kerajaan telah bersetuju untuk mengekalkan kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi semua pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. 

Keputusan ini akan berkuat kuasa dari 1 Januari hingga 30 Jun 2025. Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.  

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah subsidi elektrik yang akan dibiayai oleh Kerajaan adalah sebanyak RM2.388 bilion.

Pendekatan subsidi bersasar ini bertujuan mengurangkan beban kewangan Kerajaan, membolehkan peruntukan disalurkan kepada pelbagai bentuk bantuan lain untuk rakyat serta meningkatkan infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, dan sektor pendidikan negara.  

Selain itu, Kerajaan juga telah menetapkan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Incentive Based Regulation (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4), bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027. 

Jadual tarif baharu yang lebih kompetitif ini sedang dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan dijangka dilaksanakan pada 1 Julai 2025. 

Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM3.57 bilion untuk pelaksanaannya.  

Kerajaan turut memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah dengan meneruskan Program Rebat Elektrik RM40 bagi kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih pada tahun 2025. 

Sebanyak RM55 juta diperuntukkan untuk program ini. 

Pengguna yang layak boleh menyemak status kelayakan di laman sesawang [https://semakanrebat.petra.gov.my](https://semakanrebat.petra.gov.my) atau hadir ke kedai utiliti berhampiran. 

Subsidi elektrik yang diberikan juga boleh dilihat dalam bil elektrik bulanan masing-masing.  

Kerajaan berharap pengekalan tarif elektrik ini akan membantu pemain industri menstabilkan harga barangan, menggalakkan pelaburan dalam negara, serta meningkatkan peluang pekerjaan, sekali gus merancakkan ekonomi Malaysia.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan