Datuk Dr Akmal Saleh meminta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menjelaskan dakwaan kononnya Ketua Pemuda UMNO itu mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
"Kepada sahabat saya saudara YB Adam Adli. Boleh tak beritahu ayat mana yang saya pertikaikan bidang kuasa pengampunan Agong?
"Harap saudara Adam Adli boleh bezakan makna antara persoalan dan pertikaian," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Semalam, Dr Akmal dalam hantaran Facebook meminta Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan sama ada pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dibawa ke Lembaga Pengampunan setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Beliau membangkitkan persoalan tersebut kerana Kabinet belum dibentuk lagi ketika itu.
Adam Adli dalam kenyataan media hari ini menuduh Dr Akmal memesongkan fakta yang diketahui umum mengenai pengampunan diraja terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.
Sehubungan itu, beliau meminta Dr Akmal menarik balik kenyataannya.
0 Ulasan