Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap selebriti merangkap usahawan, Rozita Che Wan ditangguhkan setelah Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya mendapat bayaran tertunggak RM550,000 sehingga Jumaat lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum penghujung Mac.
"Sudah saya tegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan segala tindakan untuk mendapatkan balik setiap sen wang rakyat yang diamanahkan.
"Ini akan membolehkan wang ini dimanfaatkan pula kepada orang lain yang amat memerlukan," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, kediaman Rozita yang lebih popular dengan gelaran Che Ta dilaporkan diserbu pegawai MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bahagian undang-undang Mara juga dikatakan dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, ekoran gagal membayar pinjaman tersebut.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, MARA telah memfailkan notis kebankrapan kepada Che Ta dan Ammar Effendy itu tetapi ditarik balik pada bulan lalu disebabkan wujud isu teknikal sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menerusi satu dokumen Isnin lalu mengeluarkan perintah lelongan terhadap sebanyak 34 barangan milik pelakon berkenaan bernilai RM902,012.46 yang dijadualkan bermula Selasa lalu namun kemudiannya ditunda.
0 Ulasan