Kenyataan media Jabatan Peguam Negara sudah terlambat - Puad

 


Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan media Jabatan Peguam Negara berhubung perintah tahanan di rumah termasuk melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah terlambat.

Menurut beliau, kenyataan media tersebut sepatutnya dikeluarkan setahun lalu apabila isu titah adendum mula timbul.

"Sekarang terlambat. Nasi sudah jadi bubur. Persepsi sudah terbina kuat. Titah adendum memang wujud. AG (Peguam Negara) dituduh sembunyi fakta, AG tidak lagi bebas, AG dipengaruhi politik. 

"Dan Najib serta keluarganya mangsa pertuduhan tergesa-gesa, racun dan penuh dendam. 'Trust deficit' makin sukar dipulihkan," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad mengulas kenyataan media Jabatan Peguam Negara semalam berhubung isu pengampunan banduan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan  oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Peguam Negara berkata, permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan itu memberitahu, keputusan Lembaga Pengampunan itu akan mengikut tatacara dan saluran sudah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

"Kamar ini dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

"Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara itu hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," jelas kenyataan tersebut.


BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan