PAS menyokong penuh kenyataan Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung keputusan Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu menegaskan pendirian tegas menolak sebarang usaha untuk menjual saham strategik ini kepada pihak asing.
Menurut beliau, tindakan itu tidak bertanggungjawab dan akan menggugat kedaulatan ekonomi negara.
"MAHB bukan sekadar sebuah syarikat, tetapi simbol kekuatan ekonomi negara serta pemacu utama sektor penerbangan.
"Dengan pencapaian 101.2 juta penumpang sehingga September 2024 dan lonjakan keuntungan sebanyak 137% kepada RM606.3 juta, cadangan penjualan ini adalah langkah yang tidak berpandangan jauh dan hanya menguntungkan pihak tertentu.
"PAS memberi amaran keras kepada kerajaan agar menghentikan sebarang rundingan berkaitan penjualan ini," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Ahmad Fadhli berkata, sebarang urus niaga melibatkan aset strategik tersebut tanpa ketelusan adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Beliau memberitahu, proses itu mesti dijalankan dengan terbuka, dan pihak yang bertanggungjawab wajib dipertanggungjawabkan.
"Prosiding PAC perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan melibatkan semua pihak berkaitan.
"Kerajaan pula harus mengutamakan pengurusan ekonomi yang berhemah dan patriotik, bukan tunduk kepada kepentingan segelintir pihak berkepentingan," jelasnya.
Ahmad Fadhli menambah, sekiranya kerajaan tetap meneruskan langkah ini, PAS tidak teragak-agak memobilisasi sokongan rakyat untuk mempertahankan aset strategik negara.
"MAHB adalah lambang kebanggaan dan kedaulatan Malaysia, dan PAS akan memastikan ia kekal milik rakyat sepenuhnya," tegasnya.
Check out [Shopee Choice] Pinergy PG-968 Portable Slim Li-Polymer 10000mAh Power Bank for RM16.87 - RM19.31. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/AA11IGrade
0 Ulasan