PAS tidak tergila-gilakan jawatan, pangkat, harta - Abdul Hadi

 


PAS bukan kumpulan yang berlumba tergila-gilakan jawatan, pangkat, dan harta, atau menjadikan amanah yang wajib ditunaikan sebagai satu peluang mendapat habuan. 

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, itu merupakan konsep kerjasama PAS dengan semua pihak yang lain, kerana Rasulullah SAW menolak perjuangan yang tidak ikhlas bagi menegakkan agama Allah. 

Maka, menurut beliau, PAS tidak terikat dengan mana-mana kumpulan yang bertujuan mengejar jawatan, bukan menegakkan Islam. 

"Oleh itu, semua pihak yang bekerjasama dengan PAS tidak boleh menjadikan PAS laksana anak tangga untuk memanjat jawatan yang menjadi niatnya, bukan kerana menegakkan Islam dengan ikhlas, walaupun perjuangan PAS memakan masa yang panjang beberapa generasi berserta pengorbanan yang besar dari aspek harta dan jiwa raga.

"Maka, mana-mana pihak yang mahu menjadikan PAS sekadar anak tangga untuk memanjat atau rumah tumpangan sementara, pasti akan tersingkir atau disingkirkan. 

"PAS tidak mati dan tersungkur dalam sejarah kerjasamanya dengan semua pihak yang lain niatnya, sejak PAS mula dilahirkan sehingga kini," katanya melalui Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi menambah, penentuan kemajuannya bukan sekadar kemenangan pilihan raya, tetapi hidupnya adalah perjuangan Islam yang ditegakkan. 

Beliau memberitahu, pengikut PAS makin bertambah dan perjuangannya terus berjalan malah di negeri yang tidak ada kerusi yang dimenangi, ahli dan cawangannya tetap hidup. 

"PAS bukan parti sekadar ada nama yang menumpang tanpa ahli dan cawangan sendiri," jelasnya.

Abdul Hadi berkata, segala usaha untuk merobohkan benteng perjuangan Islam yang dibawa PAS semuanya gagal, sama ada usaha daripada pihak luar yang menentang Islam ataupun yang menyamar di dalamnya. 

"Pasti akan kecundang melarikan diri membawa nasib yang hilang di dunia, sama ada yang bergayut menumpang parti lain ataupun menubuhkan parti sendiri bagi melawan PAS," ujarnya.

Menurut beliau, PAS berwawasan yang berkekalan daripada dunia hingga akhirat, bukan wawasan bermusim yang singkat atau sekadar dunia tanpa akhirat. 

Maka,katanya, PAS dan ahlinya yang setia tidak boleh dibeli dengan pangkat dan harta atau dibuli dengan ugutan dan ancaman. PAS tidak mati dengan kematian pemimpin. 

"Istiqamahnya menjadikan PAS teguh tidak boleh digoncang oleh gelombang besar yang menghalang perjalanannya. Islamnya pula menjadikan PAS terus berkembang. Tanpa Islamnya, PAS juga menamatkan perjalanannya.

"Baiah yang diucapkan kerana Allah menjadikan PAS bertahan sebelum adanya undang-undang lompat parti. Mereka yang melanggar baiah terbukti rebah perjalanan hidupnya," katanya.


JIWA MERDEKA




Catat Ulasan

0 Ulasan