Berikut adalah kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung hari ini:
Saya menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan Kerajaan Negeri Kelantan yang baru-baru ini mengumumkan kewajipan pengusaha restoran untuk memohon pengesahan persijilan Halal.
Tindakan ini bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pengesahan Halal secara sukarela, tidak bertapak kepada realiti masyarakat majmuk di Malaysia, dan juga bertentangan dengan nilai ketidakpaksaan dalam Islam.
Lebih membimbangkan, keputusan ini bukan sahaja merugikan pengusaha-pengusaha kecil makanan yang berbilang kaum, tetapi juga membebankan rakyat Kelantan yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi.
Langkah ini cenderung untuk membebankan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka tidak memiliki modal yang cukup, pengetahuan yang terhad, serta pulangan lambat dalam kos persijilan mereka hasil daripada pasaran mereka yang kecil.
Sudah lebih 50 tahun negara kita mengamalkan sistem di mana pengesahan Halal dijalankan secara sukarela oleh pengusaha, dan hal ini terbukti tidak menjejaskan mutu makanan serta pembangunan Industri Halal kita.
Malah, seperti yang dipetik dalam penggulungan perbahasan parlimen saya bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan, industri Halal kepada KDNK disasarkan mencapai 8.1% bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025 - satu kejayaan yang dibanggakan oleh negara-negara sedunia dan terbukti berkesan dengan pendekatan sebelum ini.
Tindakan Kerajaan Kelantan nampaknya lebih kepada mahu bertindak bertentangan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, yang memberi kebebasan kepada pengusaha untuk membuat pilihan sama ada mahu mendapatkan sijil Halal atau tidak. Nampaknya Kerajaan PAS lebih cenderung kepada pengusaha-pengusaha kecil, tapi memihak kepada syarikat balak dan lombong yang besar.
Saya menyeru Kerajaan Kelantan menarik balik arahan yang kontroversi tersebut. Sebaliknya, Kerajaan Negeri harus memberi ruang kepada pengusaha untuk memilih tanpa paksaan, sekali gus membantu mengurangkan beban ekonomi yang sudah cukup berat dalam kalangan rakyat dan perniagaan kecil.
0 Ulasan