Berikut adalah kenyataan media Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim hari ini mengenai isu sindiket counter setting:
1. MCW melihat perkara ini sebagai satu cabaran besar dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di agensi penguatkuasaan.
2. MCW mengutuk sekeras-kerasnya kewujudan sindiket seperti ini yang mencemarkan nama baik negara dan menjejaskan integriti sistem imigresen. Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mengancam keselamatan negara dengan membenarkan individu asing masuk tanpa kawalan sewajarnya.
3. MCW bersetuju bahawa usaha membanteras sindiket ini memerlukan keberanian untuk menangkap dan mendakwa "ikan besar" dalam sindiket ini. Selagi dalang utama tidak ditangkap, sindiket ini akan terus mencari cara baharu untuk beroperasi. Kami menyeru SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melipatgandakan usaha siasatan sehingga semua individu, tidak kira pangkat, dibawa ke muka pengadilan.
4. Kami menyokong penuh kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bahawa siasatan akan diteruskan. Namun, MCW menggesa agar proses ini dilakukan dengan lebih pantas dan telus. Rakyat perlu diyakinkan bahawa tiada elemen perlindungan terhadap pelaku jenayah rasuah.
5. Insiden seperti ini menunjukkan kelemahan dalam sistem dan prosedur operasi JIM. MCW mencadangkan pelaksanaan sistem teknologi yang lebih ketat, seperti biometrik dan pengawasan digital yang tidak boleh dimanipulasi. Langkah ini termasuk penggunaan real-time monitoring terhadap pegawai bertugas di kaunter.
6. MCW menyeru lebih banyak penglibatan daripada NGO, media, dan masyarakat untuk meningkatkan tekanan kepada pihak berwajib agar mempercepatkan reformasi di JIM. Kerjasama antara SPRM, NGO, dan masyarakat adalah kunci dalam menangani masalah ini secara menyeluruh.
7. MCW menegaskan bahawa hukuman yang lebih berat harus dikenakan terhadap pelaku yang bersubahat dengan sindiket ini, termasuk melucutkan jawatan mereka dan hukuman penjara yang setimpal. Ini penting untuk memberi mesej tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah.
8. Sindiket 'counter setting' ini bukan hanya isu teknikal atau operasi, tetapi adalah simbol kepada masalah budaya rasuah yang perlu dihapuskan segera. MCW berkomitmen untuk terus mendukung usaha murni SPRM dan mendesak reformasi sistemik di semua agensi penguatkuasaan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.
RASUAH MENJAHANAMKAN EKONOMI NEGARA
0 Ulasan