Mengapa keadilan dihalang untuk sampai kepada saya? - Najib

 


Jawapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi satu soalan yang ditujukan kepadanya dalam perbicaraan di mahkamah hari ini:

Saya ingin menjawab soalan ini dalam Bahasa Malaysia kerana saya merasakan bahawa saya dapat menyampaikan apa yang ingin saya katakan dengan lebih baik dalam bahasa ibunda saya. 

Ketidakadilan yang telah saya alami dan terus saya alami adalah sangat mengejutkan. Penuduh-penuduh saya, termasuk Amhari, Shahrol, Jasmine, Hazem, Azmi, Tan Sri Ismee, Tan Sri Bakke, Tan Sri Zeti, Siti Zauyah, dan Dato’ Sri Husni, dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan diri mereka, telah membuat pembohongan demi pembohongan untuk mengaitkan saya. 

Mereka telah menukarkan fakta-fakta dengan kepalsuan dan penceritaan demi kebebasan mereka sendiri dan untuk menutup kelemahan serta kesilapan mereka. 

Namun, mereka hidup bebas tanpa sebarang tindakan undang-undang mahupun sedikit rasa penyesalan, tambahan lagi kesemua kesalahan-kesalahan dan ketidakcekapan mereka telah dengan mudah diabaikan.

Kebebasan mereka ini dibeli dengan nilai yang murah dan sebegitu mudah; hanya dengan memberikan keterangan di Mahkamah untuk mengaitkan saya dan meletakkan saya di dalam kesalahan-kesalahan yang terang-terangan mereka telah lakukan.

Pada masa yang sama, pihak pendakwaan dan penyiasat yang berat sebelah—Nur Aida, ACP Foo, dan Adam Arif—yang terikat dengan agenda yang ditetapkan untuk mereka, telah memujuk dan meyakinkan diri mereka bahawa mereka hanya "menjalankan tugas" walaupun bukti-bukti yang mereka telah bongkar menunjuk si pelaku jelas adalah bukan saya tetapi saksi-saksi di hadapan mereka.

Bagi saya, sebagai mangsa kepada sistem yang kononnya "diperbaharui" ini, yang sepatutnya menjunjung keadilan dan memerangi rasuah, sistem ini gagal di dalam memenuhi janjinya. 

Sebaliknya, ia dijadikan sebagai wadah untuk melindungi pihak yang sepatutnya bertanggungan; menjaminkan mereka terlepas daripada sebarang tanggungjawab, sementara saya dipastikan dan terus dipastikan untuk berdepan dengan prospek dipenjarakan selama berdekad atas pertuduhan-pertuduhan yang saya tidak lakukan, semata-mata untuk memenuhi kepentingan dan kelangsungan politik lawan saya.

Tetapi izinkan saya jelaskan: bagi mereka yang telah merancang dan melaksanakan ketidakadilan ini, saya tidak akan membalas dendam, kerana bukan sifat saya untuk merendahkan diri saya dan institusi-institusi kerajaan untuk berkelakuan serupa.

Fokus saya sentiasa kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat, bukan untuk terlibat dalam persengketaan atau niat jahat. Lawan politik saya yang dipenuhi dendam kini terus mengeksploitasi sistem yang mereka telah kawal, bukan sahaja terhadap saya tetapi juga terhadap individu lain yang tidak lagi mampu mempertahankan diri, seorang lelaki yang hampir seabad usianya dan lagi yang begitu tua dan lemah sehingga terpaksa hadir ke mahkamah dengan disorong oleh orang lain apatah lagi mempertahankan dirinya. 

Lawan saya dan mereka yang telah menyebabkan ketidakadilan ini terhadap saya mungkin boleh memperdaya dunia dan berbangga atas kemenangan sementara mereka, tetapi mereka tidak dapat menipu Yang Maha Kuasa, yang melihat segala-galanya. 

Kelak pada Hari Penghakiman, mereka akan bertanggungjawab atas pembohongan, pengkhianatan dan pencabulan mereka ke atas keadilan dan undang-undang mereka. Tidak dapat dinafikan, di dalam kepercayaan saya, pemerintah dan mereka yang berkuasa; pemerintah negara dan hakim-hakim, akan dihisab dan dipersoalkan terlebih dahulu.

Namun saya percaya bahawa keutamaan ini bukanlah disebabkan oleh darjat-darjat ataupun darah dan keturunan mereka, kerana setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan. 

Saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa ‘keutamaan’ ini sebenarnya bukanlah suatu penghormatan kepada pemerintah tetapi suatu manifestasi keadilan dan kepuasan kepada mereka-mereka yang tidak mempunyai kuasa dan juga yang telah ditindas: mereka dapat melihat dan menonton sendiri apa yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka semasa di dunia dan hadir menyaksikan sendiri keputusan terhadap perbuatan-perbuatan pemimpin-pemimpin tersebut, sama ada mereka akan disiksa sebagai balasan perbuatan mereka ataupun sebaliknya.  

Dan kepada mereka yang mengkritik saya semasa saya menjadi Perdana Menteri dan yang terus kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan reformasi institusi, adakah ini Malaysia yang anda impikan?

Saya ingin mengingatkan mereka bahawa saya juga seorang rakyat Malaysia. Tidakkah saya berhak mendapatkan keadilan yang sama seperti yang anda tuntut untuk orang lain, atau adakah visi anda tentang keadilan mengecualikan saya?

Sebagai seorang warganegara negara yang tercinta ini yang mana saya bersyukur mempunyai keistimewaan dan kehormatan besar untuk berkhidmat, saya memegang rasa hormat yang mendalam terhadap prinsip-prinsip yang menjadi asas negara kita, termasuk kebijaksanaan dan keadilan yang secara tradisinya dijunjung oleh mereka yang diamanahkan untuk menjaga perpaduan dan keadilan negara. 

Namun, saya tidak dapat tidak bertanya: di manakah tempat saya dalam pencarian keadilan ini, dan mengapa keadilan telah pada setiap peluang dihalang untuk sampai kepada saya? 

Keadilan adalah satu konsep yang tidak berubah, dan bukannya suatu watak yang hanya layak dimainkan oleh seseorang indvidu sahaja. Jika  suatu keadilan berlaku kepada saya, perkara ini juga patut diperjuangkan, perjuangan tersebut tidak terhad kepada pemain watak ‘keadilan’ tersebut semata-mata.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan