Berikut adalah kenyataan media Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Muhammad Affan Jumahat hari ini:
YAB Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor tidak perlu menunggang isu 'palui' demi untuk mengalih perhatian rakyat Sabah terhadap kegagalan pimpinannya, kerana perbuatan terdesak tersebut hanya membuktikan beliau seorang Ketua Menteri yang kering idea dan tidak reti mentadbir negeri.
Gangguan elektrik yang berterusan, masalah terputus bekalan air bersih serta keadaan jalan raya seumpama di bulan adalah masalah REAL di Sabah, yang berpunca daripada kelemahan YAB Datuk Seri Hajiji dan GRS, yang tidak boleh ditutup melalui cubaan mengalihkan isu.
Bukan hanya memalukan, tetapi keadaan infrastruktur asas yang makin memburuk di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Hajiji merupakan suatu pengkhianatan buat seluruh rakyat Sabah, kerana ketika masalah rakyat tidak dipedulikan, kepimpinan GRS pula terpalit dengan skandal video rasuah.
Perlu ditegaskan, Ketua Pembangkang tidak pernah merujuk 'palui' kepada orang Sabah, sebaliknya merujuk kepada sikap tidak bertanggungjawab kepimpinan negeri, dan Dato' Seri Hamzah Zainudin telah menarik balik segera kenyataan itu dalam ucapan yang sama ketika di Kudat.
Berhentilah mengheret rakyat Sabah demi menutup kelemahan diri sendiri, kerana bangkai gajah tidak akan mampu ditutup dengan daun nyiru. Rakyat Sabah mahukan perubahan.
0 Ulasan