Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Ketua DAPSY, Woo Kah Leong bahawa kelantangannya bersuara dalam isu sandwich ham bukan soal ingin menjadi hero.
Menurut beliau, soalnya adalah ada pihak cuba menipu dan mengkhianati kepercayaan orang Islam untuk menjual produk dengan menipu label halal.
Dr Akmal berkata, pihak terbabit berbuat demikian walaupun hakikatnya mereka tidak dapat langsung sijil halal dan perkara itu juga adalah salah di sisi undang-undang.
"Adakah DAPSY juga menyokong tindakan yang salah di sisi undang-undang ni? Dan apa yang lebih penting ini soal tanggungjawab seorang muslim kepada yang lain untuk menyampaikan perkara yang betul.
"Kalau tak faham soal sensitif orang Islam dan Melayu di tanah air ini, lebih elok jangan jadi pemimpin!! Pergi jual sandwich ham lebih baguslah bro," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook hari ini, Dr Akmal turut menempelak Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
"Hello YB Wee Jeck Seng. Bila masa bercakap mengenai hak pengguna islam dianggap berpolitik???" soalnya.
Beliau berkata, adalah menjadi hak setiap pengguna untuk mempersoalkan kesahihan logo halal yang ada.
Dr Akmal memberitahu, JAKIM telah memaklumkan bahawa syarikat yang membuat sandwich itu secara terang-terangan menipu sijil halal.
"Dan ini adalah satu kesalahan yang amat berat dan sangat terkesan bagi orang Islam dan siapa yang menipu ini wajib dikenakan tindakan yang sangat berat tidak kira siapa pun tauke dia!!
"Saya mahu tanya satu soalan, kamu kenal ke dengan tauke sandwich ni??" katanya.
0 Ulasan