Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan pendirian tidak bersetuju terhadap penjualan arak yang dibenarkan beroperasi secara terbuka, khususnya di kawasan majoriti Muslim di negara ini.
Yang Dipertua PUM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyokong kelangsungan penjualan arak, tidak mencerminkan aspirasi majoriti rakyat yang mahukan kawalan lebih ketat terhadap penjualan minuman keras.
Menurut beliau, tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang berusaha meluaskan larangan penjualan arak wajar dipuji kerana menghormati sensitiviti umat Islam.
“Langkah ini amat rasional kerana larangan tersebut hanya melibatkan kawasan majoriti Muslim dan tidak memberi kesan kepada kawasan lain yang dihuni masyarakat bukan Islam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata, arak bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah menyumbang kepada pelbagai masalah sosial seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga dan keruntuhan institusi keluarga.
“Penjualan arak secara terbuka turut menjejaskan norma moral masyarakat. Oleh itu, kerajaan wajar memperketatkan kawalan sebagai langkah memperkasa masyarakat yang harmoni dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Beliau menambah, PUM turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memastikan isu ini ditangani dengan berkesan termasuk
penjualan arak hanya dibenarkan di kaunter khas tanpa melibatkan pekerja Muslim dan kawasan majoriti Muslim perlu dikecualikan daripada operasi premis yang menjual arak.
Wan Mohamad turut menggesa kerajaan memastikan tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh bagi melindungi keharmonian masyarakat, tanpa menjejaskan hak masyarakat bukan Islam.
Beliau menyeru Jemaah Menteri agar bertindak tegas dalam isu ini dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu yang lebih komprehensif.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya dalam mengekang penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti Muslim,” katanya.
Wan Mohamad percaya, usaha ini bukan sahaja akan menjaga sensitiviti masyarakat Islam, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani yang lebih stabil dan progresif.
Check out 200gm. roasted sacha inchi. Tidak kelat. beli terus makan.kebun sacha inchi Perak. for RM23.00. Get it on Shopee now! https://s.shopee.com.my/60CHSmM0rR?share_channel_code=1 |
0 Ulasan