Peserta Himpunan Solidariti Najib tidak dianggap menderhaka - Hassan

 


Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam:

Apakah penyokong-penyokong mantan Perdana Menteri Najib Razak mempunyai hak untuk berhimpun di hadapan Mahkamah Rayuan Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya esok 6 Januari 2025?  

Jawapannya adalah positif. Ya. Hak mereka dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.  

Adakah hak di bawah Perkara 10(1)(b) tersebut mutlak sifatnya? Jawapannya tidak. Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau moraliti seperti dinyatakan Perkara 10(2)(b).  

Dalam perkara ini, Parlimen semasa Pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2012 telah menggubal satu undang-undang yang bernama Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).  

Akta 736 itu bertujuan untuk memberi lebih luas ruang kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dengan aman bagi menggantikan Akta Polis 1967 yang begitu menyekat dan mengongkong kebebasan rakyat.  

Penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah satu usaha positif, berani dan progresif yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri Najib Razak.  

Akta Perhimpunan Aman 2012 ini telah dipinda supaya menjadi lebih demokratik di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan PH1.0 pada tahun 2019 di bawah Perdana Menteri ke-7 Tun Dr. Mahathir Mohamad. Satu daripada pindaan yang baik itu ialah memendekkan tempoh Notis Pemberitahuan kepada pihak Polis dari 10 hari menjadi 5 hari sahaja dari tarikh perhimpunan diadakan. Ini juga satu jasa kerajaan PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir untuk membuka ruang demokrasi yang lebih luas untuk rakyat berhimpun secara aman.  

Adakah orang ramai yang berhimpun esok di hadapan Mahkamah Rayuan Malaysia dianggap menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong?  

Jawapannya adalah tidak. Tidak sama sekali. Malaysia sebuah negara demokratik bukannya sebuah negara feudal mutlak.  

Kenyataan Istana Negara bertarikh 3 Januari 2025 hanya menegas dan mengulangi apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara bertarikh 28 Disember 2024. Kenyataan Istana Negara menegaskan dengan jelas sekali lagi bahawa Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa prerogatif memberi ampun, tunda hukuman dan lega hukum bagi kesalahan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.  

Kenyataan Istana Negara 3 Januari tersebut tidak membatalkan hak rakyat berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b). Perlu dijelaskan bahawa undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara. Hal ini bersesuaian dengan dasar negara kita Malaysia yang urusan kenegaraannya berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Ini diperkuatkan lagi dengan prinsip Malaysia mengamalkan dasar demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, di mana kuasa rakyat dan kuasa raja bergerak harmoni dan seimbang.  

KESIMPULAN

Walaupun saya mempunyai pandangan peribadi sendiri dalam isu perhimpunan aman esok 6 Januari di Putrajaya berhubung solidariti dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak di mana saya pernah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju.  

Tetapi itu hanyalah pendirian peribadi saya sahaja. Ia tidak penting. Pendirian peribadi saya tidak boleh menafikan hak ahli keluarga Najib Razak dan penyokong-penyokong mantan Perdana Menteri ke-6 dari seluruh negara termasuk ahli-ahli UMNO, PAS, Bersatu, BN dari MIC dan MCA, para NGO dan rakyat biasa berhimpun seperti dijamin oleh Perlembagaan negara. Syaratnya utama ada dua iaitu berhimpunlah secara aman dan tidak membawa senjata.  

Pihak polis sewajarnya menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat dan tujuan Parlimen pada tahun 2012 semasa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak menggubal Akta 736 tersebut untuk memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.  

Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok 6 Januari 2025 secara aman di hadapan Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. 


BACA LAGI







Catat Ulasan

0 Ulasan