Titah Addendum: Anwar tak perlu letak jawatan - Hassan Karim

 


Berikut adalah kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam:

Yang menang hari ini di Mahkamah Rayuan Malaysia berkenaan rayuan Najib Razak  berkaitan permohonan kebenaran semakan kehakiman adalah dua pihak. Pertama Najib Razak dan kedua kebebasan institusi kehakiman.

2. Najib Razak belum menang secara total. Beliau perlu berdepan satu perbicaraan penuh substiantif Semakan Kehakiman  di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Di sana nanti, Najib Razak mungkin menang atau mungkin kalah.

3.Tetapi yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman. Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan  boleh dicabar dan disemak di Mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia.

4. Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim  yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai Perdana Menteri tidak boleh mengganggu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim.

5. Oleh kerana Najib Razak telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong maka PM Anwar Ibrahim bukanlah pihak yang terlibat secara langsung tentang keputusan  Lembaga Pengampunan itu.

6. Begitu juga apabila Najib Razak tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara berkait  isu Titah Addendum dan memfailkan Semakan Kehakiman di Mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.

7. Anwar Ibrahim secara peribadi dan sebagai Perdana Menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada Titah Addendum itu ada atau tidak ada.

8. Pihak yang patut menjawab di Mahkamah bukan PM Anwar Ibrahim tetapi Peguam Negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara. Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib Razak pada 6 Januari, pagi tadi. Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan affidavit untuk menyatakan sama ada Titah Adenddum itu wujud atau tidak. Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memikulnya.

9. Apakah kita mahu Perdana Menteri  Anwar Ibrahim  campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Federal Counsel dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu PM Anwar Ibrahim terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.

10. Melihat dan mendengar PM Anwar Ibrahim menjawab di Parlimen dalam soal Pengampunan Najib Razak dan Titah Addendum saya sebagai seorang ahli parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa PM Anwar Ibrahim  memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman.

11. Jadi Anwar Ibrahim tidak bersalah. Beliau tidak perlu meletakkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.  Sebaliknya sikap dan pendirian Anwar Ibrahim yang menghormati kebebasan kehakiman dalam soal Titah Addendum ini patut dihormati dan dipuji.


BACA LAGI



Check out [HOT SALE] Kalislab Keto Chocolate Dark Cacao / Coffee Arabica / Bentong Ginger 60gm for RM21.60 - RM72.90. Get it on Shopee now!
https://s.shopee.com.my/3LB0Gm5CAI?share_channel_code=1 



Catat Ulasan

0 Ulasan