Salinan surat daripada Istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah addendum berhubung penahanan dalam rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tular dalam media sosial hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh turut berkongsi salinan surat bertarikh 4 Januari itu melalui laman Facebook beliau.
Berikut adalah kandungan surat yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman kepada Exco Kerajaan Negeri Pahang yang juga anak Najib, Datuk Mohamad Nizar:
TITAH ADDENDUM BERKENAAN PENAHANAN DALAM RUMAH (HOUSE ARREST) DATO' SRI NAJIB TUN RAZAK
Merujuk perkara di atas, saya dengan hormatnya memaklumkan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Dato' Sri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest) melalui Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024.
2. Sehubungan dengan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah dengan ini memperakukan bahawa Titah Addendum Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku termaksud adalah wujud dan sahih.
Sementara itu, Dr Akmal dalam hantaran tersebut berkata, "Daulat Tuanku!!! Terbukti akhirnya semua yang diperkatakan oleh YAB Dato' Seri Zahid Hamidi ,YAB Dato' Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail Menteri Besar Pahang dan Dato' Nizar telah disahkan benar oleh DYMM Sultan Pahang."
0 Ulasan