Ada pihak sengaja sembunyi Titah Addendum - Hamzah

 


Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membuktikan ada pihak secara sengaja bertindak menyembunyikan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati prinsip berterus-terang (candour principle) yang sepatutnya dijunjung kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, adalah tidak mungkin seorang Perdana Menteri tidak mengetahui kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuklah Titah Addendum.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan dan sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan Negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Addendum Januari tahun lalu.

Titah Addendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit skandal dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Datuk Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Addendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.


BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan