Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan berlaku sebarang kesilapan, salah nyata, atau usaha untuk menyembunyikan maklumat, seperti yang didakwa pihak tertentu berhubung transaksi jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Dalam kenyataan semalam, KWSP memaklumkan pihaknya sentiasa mengamalkan standard tertinggi dalam tadbir urus dan ketelusan, sejajar dengan komitmen untuk melindungi kesejahteraan kewangan jangka panjang lebih 16 juta ahlinya.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion dengan pendapatan pelaburan bersih berjumlah RM63.48 bilion, selaras dengan jumlah yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan II.
“Tiada sebarang kesilapan, salah nyata, atau usaha untuk menyembunyikan maklumat seperti yang didakwa,” kata kenyataan itu.
Menurut KWSP, julat harga RM5.40 hingga RM7.36 sesaham yang disebut sebelum ini adalah merujuk kepada soalan yang dikemukakan di Parlimen oleh seorang Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, semakan terhadap semua transaksi sepanjang tahun 2023 mengesahkan julat harga sebenar adalah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham.
“Jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi ini adalah RM102 juta, merangkumi keuntungan modal serta dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran.
"Jumlah RM100.7 juta yang disebut dalam perbincangan sebelum ini tidak mengambil kira sebahagian dividen yang diterima daripada pengurus dana luaran dan kini telah diperbetulkan,” jelas kenyataan itu.
Tambah KWSP, pelaburannya dalam MAHB turut menyumbang kepada prestasi keseluruhan yang membolehkan pengisytiharan kadar dividen lebih tinggi bagi tahun 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional (berbanding 5.35 peratus pada 2022) dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah (berbanding 4.75 peratus pada 2022) dengan jumlah agihan RM7.48 bilion.
“KWSP menegaskan bahawa semua jumlah yang diumumkan adalah tepat dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan yang ketat.
"Setiap keputusan pelaburan melalui penilaian ketat sejajar dengan mandat KWSP, dengan keutamaan diberikan kepada pemeliharaan nilai jangka panjang.
“Memandangkan simpanan persaraan adalah kepentingan nasional, KWSP kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi dan mengembangkan dana ahli dengan profesionalisme, akauntabiliti, dan ketelusan,” katanya.
KWSP turut menegaskan komitmennya terhadap ketelusan dan mengalu-alukan dialog konstruktif bersama pembuat dasar, pihak berkepentingan, serta orang ramai bagi memastikan dasar-dasarnya terus berkhidmat demi kepentingan terbaik negara dan ahli-ahlinya.
0 Ulasan