Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, bangsa Melayu yang beragama Islam dihalau secara halus dari kawasan bandar dengan penjualan tanah dan pengambilannya.
Pada masa yang sama, menurut beliau, orang Melayu pula meremehkan kewajipan pilihan raya yang boleh menyebabkan hilangnya kuasa politik memerintah negara, sehingga hilangnya kepimpinan bangsa Melayu sejak beberapa abad.
"Ambillah iktibar daripada binatang seperti semut yang kecil dan lemah, namun mempunyai kebijaksanaan yang menjadi fitrah kurniaan Allah SWT.
"Mereka bijak mempertahankan kaumnya daripada dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS yang adil, namun mungkin tidak menyedari keberadaan semut-semut yang kecil dan lemah itu," katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu menambah, pada masa ini, kita sedang menyaksikan bangsa Melayu yang beragama Islam tidak peduli terhadap kewajipan mempertahankan hak mereka bersama Islam di bumi kurniaan Allah.
Lebih malang, beliau menambah, ada yang mengkhianati agama, bangsa, dan tanah air yang diamanahkan kepada mereka untuk dipimpin berlandaskan Islam sebagai petunjuk Allah.
"Jadi, janganlah memilih petunjuk selain daripada petunjuk-Nya," jelasnya.
Abdul Hadi berkata, kita juga sedang menyaksikan kegagalan agama-agama selain Islam serta ideologi yang sedang membakar dan merosakkan penganutnya, sebagaimana rosaknya umat terdahulu.
"Tegakkan Islam dalam diri, keluarga, dan tanah air, nescaya semuanya selamat. Sebaliknya, jika ditegakkan sesuatu selain Islam, pasti akan runtuh dan binasa di dunia, serta ditimpa kecelakaan di akhirat kelak," katanya.
Beliau menyeru agar Islam ditegakkan bagi memandu bangsa Melayu yang telah menerima Islam, agar semuanya selamat.
"Jangan sekali-kali berwala’ kepada bukan Islam sehingga menjadi liberal dan sekular, kerana akhirnya semuanya tidak akan selamat," katanya.
0 Ulasan