![]() |
Azril Mohd Amin (Gambar: FB MASA) |
Pemilikan aset dan penyertaan Bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi masih berada pada tahap rendah meskipun pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, kajian yang dibentangkan dalam Wacana Masa Depan Ekonomi Bumiputera hari ini mendapati jurang pemilikan ekuiti, kadar pengangguran graduan yang tinggi serta ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan etnik di negara ini masih menjadi cabaran utama.
“Sejak pelaksanaan DEB, taraf sosioekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan. Namun, Bumiputera masih ketinggalan dalam pemilikan aset dan penglibatan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
“Statistik juga menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan Bumiputera masih tinggi, selain majoriti mereka menerima gaji lebih rendah dan kurang terlibat dalam sektor berkemahiran tinggi atau profesional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Azril, sumbangan ekonomi perniagaan Bumiputera juga kekal rendah berbanding bukan Bumiputera, sama ada dalam perniagaan kecil mahupun besar.
Beliau menambah, Pengerusi MASA, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada wacana tersebut menegaskan bahawa kerajaan perlu menilai semula strategi pemerkasaan ekonomi Bumiputera agar lebih komprehensif dan inklusif.
Katanya, Muhyiddin turut mempersoalkan sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera yang lebih rendah di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) berbanding Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Sehubungan itu, Azril berkata, MASA komited untuk memperkukuh dasar sedia ada dan berperanan sebagai badan semak imbang dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan ke arah pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih lestari.
“Kami akan terus menggerakkan inisiatif berimpak tinggi, termasuk penganjuran forum seperti Wacana Masa Depan Ekonomi Bumiputera sebagai platform perbincangan dengan pakar ekonomi, pemimpin industri, dan wakil kerajaan bagi merangka dasar yang lebih efektif,” katanya.
Tambahnya, MASA juga mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama semua pihak berkepentingan bagi memperkukuh agenda pemerkasaan Bumiputera ke arah ekosistem ekonomi yang lebih berdaya saing dan inklusif
0 Ulasan