Penganalisis politik, Lim Sian See mendakwa, semua formula yang dicanangkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli semasa menjadi pembangkang dahulu ternyata salah besar.
Beliau menyindir jaminan kerajaan bahawa kenaikan harga RON95 tahun ini tidak akan membebankan rakyat atau menyebabkan kenaikan harga barang sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
"Madani jamin harga barang tidak naik bila harga RON95 meningkat tahun ini? Ya ampun, memang hebatlah jaminan Madani ni!
"Rupanya, semua formula Datuk Seri Orang Minyak Dulu Saya Kerja Petronas Saya Tahu Lah semasa pembangkang dulu salah besar – siapa sangka?" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sian See menambah, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour sendiri telah mengunjurkan kadar inflasi lebih tinggi tahun ini susulan pelaksanaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan kenaikan harga petrol bersubsidi, sekali gus bercanggah dengan jaminan kerajaan.
Menurut beliau, ini bukan kali pertama jaminan kerajaan Madani meleset kerana sebelum ini, kerajaan turut berjanji bekalan beras tempatan akan pulih pada Oktober 2023 dan bekalan kelapa akan mencukupi menjelang musim perayaan bagi memastikan harga santan tidak meningkat.
"Apa sudah jadi dengan semua janji itu?" soalnya.
Tambahnya, segala teori dan realiti ekonomi akhirnya kalah dengan jaminan kerajaan yang sering berubah-ubah.
"Semua logik hanya jadi main-main bila berdepan dengan jaminan Madani," katanya.
0 Ulasan