Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pembohongan paling besar akibatnya kepada umat adalah apabila mereka memilih pemimpin dalam kalangan pembohong yang fasik tersembunyi dan tiada kelayakan yang sebenar-benarnya, sehingga membawa akibat yang merosakkan negara dan rakyatnya.
Menurut beliau, berlaku lebih dahsyat adalah dimurkai Allah apabila mengkhianati amanah yang paling besar agar mentadbir dunia dengan petunjuk Allah serta menyerahkan amanah kepada orang yang layak dari sudut iman, akal, ilmu dan akhlaknya, di samping beriman dan budiman.
"Maka, satu kesalahan yang besar apabila memilih pemimpin kerana sogokan harta dan janji pangkat, bukan kerana kelayakannya.
"Lebih parah lagi kalau ditipu dengan pembohongannya," katanya dalam Minda Presiden PAS hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, contoh terburuk adalah kaum Bani Isra’il yang menjadikan pangkat dan harta sebagai tujuan utama pelantikan pemimpin tanpa mengira sesiapa, bukan untuk menunaikan amanah.
"Maka, akibat berbohong dan menipu itu menular, diikuti pula perkara-perkara yang merosakkan urusan pentadbiran dunia dan merebakkan kezaliman," jelasnya.
Abdul Hadi berkata, kemusnahan dunia dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri sepertimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dialah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya serta merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205) Dan apabila dikatakan kepadanya, ‘Bertaqwalah kepada Allah,’ bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka, cukuplah (balasannya) Neraka Jahannam. Dan sungguh, Neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya. (206)” [Surah al-Baqarah: 204–206]
Menurut beliau, ayat tersebut menunjukkan lahirnya mereka yang bijak bercakap, tetapi menipu orang ramai demi kepentingan diri dan puaknya sahaja.
"Sehinggakan, pembohongannya dianggap benar dan menutup segala kebenaran dengan media yang menjadi saksi yang fasik.
"Ramai yang menjadi mangsa kezaliman kerana menyeret orang yang tidak bersalah dengan tuduhan yang dicipta, disebabkan menjadi ancaman kepada kedudukan pemimpin yang bohong," katanya.
0 Ulasan