Caj kesesakan dijangka kurangkan kesesakan jalan raya KL 20 peratus

 

Gambar hiasan: Tom Fisk / Pexels

Kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dijangka dapat dikurangkan sekitar 20 peratus sekiranya caj kesesakan dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan telah melaksanakan kajian ke atas tiga bandar raya utama yang berpotensi melaksanakan caj kesesakan iaitu Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.  

Menurut beliau, pengalaman di bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan pelaksanaan caj kesesakan mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus, manakala kajian di New York dan Singapura mendapati jumlah trafik dapat dikurangkan sekitar 10 hingga 15 peratus.  

"Selari dengan hasil kajian antarabangsa, jika caj kesesakan dilaksanakan di Kuala Lumpur, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar 20 peratus. 

"Namun, kadar caj tidak boleh terlalu rendah sehingga tidak berkesan, tetapi juga tidak boleh terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna," katanya.  ," katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanya apakah mekanisme caj kesesakan yang bakal 

digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.

Menurut Dr Zaliha, kajian mengenai pelaksanaan caj kesesakan kini sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).  

Beliau menambah, kajian itu meliputi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj kesesakan diperkenalkan.  

"Berdasarkan kajian awal, beberapa mekanisme yang digunakan di bandar antarabangsa turut dipertimbangkan, antaranya sistem Electronic License Plate Reader seperti di New York, Electronic Road Pricing di Singapura, Congestion Charge Zone di London serta Road Space Rationing di Jakarta dan Beijing," jelasnya.  

Dr Zaliha memberitahu, kajian oleh Prasarana Malaysia Berhad pada tahun 2020 menunjukkan negara mengalami kerugian RM20 bilion akibat kesesakan jalan raya.  

"Ini bermakna, bagi setiap satu peratus kesesakan yang berjaya dikurangkan, terutamanya di kawasan daerah perniagaan pusat (CBD) seperti Bukit Bintang, Lembah Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju, kerajaan dapat mengurangkan kerugian sebanyak RM200 juta," ujarnya.  

Katanya, Kuala Lumpur merekodkan purata 1.5 juta kenderaan keluar masuk setiap hari, dengan jumlah kenderaan dalam ibu kota mencapai enam juta dalam tempoh 24 jam.  

Bagaimanapun, jelas beliau, jumlah pengguna pengangkutan awam hanya sekitar 25 peratus, dengan kebanyakan pengguna jalan raya lebih memilih kenderaan sendiri kerana kelemahan dalam sistem first mile – last mile.  

"Justeru, saya senada dengan Menteri Pengangkutan bahawa penguatkuasaan caj kesesakan tidak boleh dilakukan sebelum integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap diwujudkan," katanya.  

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian caj kesesakan yang sedang dilaksanakan oleh MIROS dan MGTC.

Catat Ulasan

0 Ulasan