MP Kampar mesti letak jawatan jika gagal sanggah surat Ka Siong

 


Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mesti meletak jawatan sekiranya gagal menyanggah surat Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong secara jelas dan berfakta berhubung dakwaan kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam transaksi saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).  

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, sebelum ini Zhemin telah mengemukakan usul mendakwa Ka Siong mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan bahawa KWSP mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM500 juta akibat penjualan saham MAHB secara pukal pada harga rendah dan pembelian semula pada harga lebih tinggi.  

Susulan itu, menurut beliau, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Ka Siong untuk mengemukakan surat memperincikan bagaimana KWSP mengalami kerugian serta mengapa urusan tersebut mencurigakan, yang perlu diserahkan kepadanya hari ini.  

"Selepas itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menyerahkan surat Ka Siong kepada Zhemin supaya beliau boleh menyangkal dakwaan tersebut melalui surat juga," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menurut Sian See, sebelum ini Zhemin sendiri berjanji dalam Dewan Rakyat bahawa beliau akan meletakkan jawatan dan bersara daripada politik jika terbukti bahawa KWSP mengalami kerugian walaupun satu sen dalam transaksi jual murah, beli balik mahal itu.  

Justeru, katanya, sebagai Ahli Parlimen yang menuduh Ka Siong mengelirukan Dewan Rakyat dan menuntut tindakan diambil, Zhemin juga perlu memikul tanggungjawab untuk menepati janjinya dengan meletakkan jawatan sekiranya gagal menyangkal surat Ka Siong secara jelas dan berfakta.  

"Dewan Rakyat bukan tempat untuk membuat janji kosong. Kegagalan menunaikan janji yang dibuat dalam Dewan adalah satu penghinaan besar terhadap integriti dan maruah Parlimen," katanya.  

Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif untuk menyediakan draf surat peletakan jawatan tanpa tarikh bagi Zhemin sekiranya gagal menyangkal surat Ka Siong atau sekadar memberikan jawapan bertulis yang merapu.  

"Beliau hanya perlu mengisi tarikh, alamat dan menandatangani surat tersebut sahaja. 

"Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat atau kedua-dua Ahli Parlimen akan mendedahkan surat Ka Siong dan surat balasan Zhemin secara umum kepada rakyat supaya semua boleh menilai sendiri siapa yang benar dan siapa yang menipu," katanya.  

Sian See turut mempersoalkan tindakan DAP yang mempertahankan isu jual murah, beli balik mahal itu, sedangkan ia jelas merugikan pencarum KWSP.  

"Bukan sahaja mempertahankan, tetapi mereka lakukan secara habis-habisan sehingga sanggup berjanji dalam Parlimen untuk meletakkan jawatan jika terbukti salah. Ada apa sebenarnya?" soalnya.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan