Perbicaraan kes 1MDB-Tanore di Mahkamah Tinggi semalam mendedahkan butiran baharu mengenai hubungan Malaysia dengan Arab Saudi serta peranan individu tertentu dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan aliran dana berkaitan 1MDB.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, adinda kepada Sultan Terengganu, Tengku Rahimah Sultan Mahmud, dalam keterangannya, mendedahkan bahawa beliau pertama kali bertemu dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low melalui perkenalan dengan Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree, menantu kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Taib Mahmud.
"Dalam pertemuan tersebut, Jho Low berkongsi mengenai latar belakang serta peranannya dalam membantu syarikat Mubadala memperoleh kepentingan dalam RHB Bank Berhad.
"Tengku Rahimah menegaskan bahawa penubuhan TIA adalah hasil cadangan Jho Low selepas beliau memperkenalkan Sultan Mizan Zainal Abidin kepada model dana kekayaan berdaulat Mubadala dan bukannya atas permintaan Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu mahkamah bahawa beliau sendiri mendengar Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud, berjanji memberikan sumbangan kepada Najib.
Katanya, hubungan antara kedua-dua pemimpin itu adalah sangat akrab dan diibaratkan seperti hubungan “bapa dan anak.”
Katanya lagi, perkara itu turut disokong oleh bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Prof. Datuk Syed Omar Al-Saggaf, yang menyatakan bahawa Najib kelihatan gembira apabila dimaklumkan mengenai keputusan Almarhum Raja Abdullah untuk memberikan bantuan kewangan kepada Malaysia.
"Katanya, Najib memaklumkan perkara tersebut kepadanya sejurus selepas pertemuan dengan Raja Abdullah di Riyadh pada 11 Januari 2010," ujarnya.
Dalam pada itu, pentadbir laman Facebook Najib Razak menyifatkan pendedahan ini sebagai bukti bahawa hubungan baik antara Najib dan kepimpinan Arab Saudi telah membawa manfaat besar kepada Malaysia, sekali gus menafikan naratif yang cuba dikaitkan dengan 1MDB.
"Perkembangan ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai asal-usul dana berkaitan 1MDB dan menegaskan kepentingan hubungan diplomasi Malaysia-Arab Saudi yang terjalin erat di era pentadbiran Najib," katanya.
0 Ulasan