Prosiding hina mahkamah yang bakal difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung kes titah adendum boleh membawa kesan besar bukan sahaja kepada individu yang terlibat, tetapi juga kepada kredibiliti institusi kehakiman dan politik negara.
Terdahulu, peguam bekas Perdana Menteri itu mengesahkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas Peguam Negara yang didakwa menyembunyikan kewujudan titah adendum, dokumen penting yang sebelum ini tidak dipertimbangkan mahkamah.
Menurut penganalisis politik, Lim Sian See, kegagalan mendedahkan dokumen itu adalah satu bentuk penghalangan keadilan yang serius kerana ia menyebabkan mahkamah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.
“Mahkamah telah membuat keputusan tanpa mengetahui adanya dokumen ini. Ia bukan sekadar kecuaian tetapi menunjukkan wujudnya usaha untuk memanipulasi proses kehakiman,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Lebih mengejutkan, kata Sian See, individu yang didakwa terlibat bukan sekadar bekas Peguam Negara, tetapi kini memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, ini bermakna seorang hakim di peringkat tertinggi negara kini berdepan dengan prosiding penghinaan mahkamah, yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman.
Selain itu, katanya, Najib juga boleh memfailkan tindakan sama terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengakui mengetahui kewujudan Titah Adendum tetapi tidak mendedahkannya ketika kes dibicarakan.
“Sebagai penjawat awam, kegagalan Anwar untuk mendedahkan maklumat ini boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.
"Ini boleh membawa implikasi besar, termasuk menggugat kelayakannya sebagai Ahli Parlimen jika didenda melebihi RM2,000,” jelasnya.
Kata Sian See, mengikut Arahan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, hakim mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu yang disyaki menghina mahkamah tanpa perlu melalui Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, kuasa itu pernah digunakan dalam kes Ibrahim Ali pada 2013 dan Maria Chin Abdullah pada 2019, di mana mereka didakwa kerana menghina mahkamah.
"Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman berat, termasuk denda atau hukuman penjara, ia boleh memberi kesan besar kepada landskap politik negara.
"Kes Ibrahim Ali, di mana beliau dikenakan denda RM20,000 kerana menghina mahkamah, menjadi rujukan bagaimana institusi kehakiman boleh bertindak dalam kes sebegini.
"Dengan perkembangan ini, tindakan Najib dijangka mencetuskan gelombang baharu dalam perdebatan mengenai keadilan dan ketelusan sistem perundangan negara," jelasnya.
0 Ulasan