Dewan Ulamak PAS Pusat menyelar cadangan seorang Ahli Parlimen daripada DAP yang mahukan seorang menteri dilantik bagi menjaga hal ehwal bukan Islam.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, cadangan tidak masuk akal dan separuh masak itu menggambarkan bagaimana tahap pemikiran pemimpin utama DAP yang gagal memahami kerangka berperlembagaan yang sebenar.
Malah, menurut beliau, ia seolah-olah membenarkan usaha terancang untuk meletakkan kedudukan Islam yang sama rata dengan agama-agama lain di Malaysia.
"Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan. Namun, pengamalan agama-agama lain dibenarkan berdasarkan lunas perlembagaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui melontarkan cadangan tidak masuk akal itu dalam sidang Dewan Rakyat.
Ahmad menambah, sebelum ini pemimpin veteran DAP pernah membangkitkan mengenai Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu disusuli cadangan untuk menambah keanggotaan pakar perlembagaan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
"Apakah mereka mempunyai perancangan terancang untuk meminggirkan teras Melayu-Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menguasai negara dengan agenda "Malaysian Malaysia"? Sedangkan hak bukan Islam sentiasa terjamin dalam pentadbiran Kerajaan.
"Tidak ada apa yang boleh diharapkan melihatkan "abang besar" yang semakin besar kepala dari hari ke hari. Rakyat akan menghukum kerajaan hari ini kerana kegagalan mencegah rintang pemimpin ultra kiasu dalam kerajaan," jelasnya.
0 Ulasan